Malaysia lepasi angka 35,000 kematian Covid-19


Ravin Palanisamy

JUMLAH keseluruhan kematian Covid-19 negara kini mencecah 35,000 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 30 kematian baharu semalam, dengan lima daripadanya diisytiharkan sebagai kematian di luar hospital.

Jumlah kematian kini ialah 35,013, dengan kes kematian di luar hospital menyumbang sebanyak 7,386.

Malaysia juga melaporkan 17,476 kes semalam, hari pertama sempadan antarabangsa dibuka kepada pelancong selepas hampir dua tahun ditutup akibat Covid-19.

Kes yang dilaporkan semalam menurun buat kali pertama dalam tempoh tiga hari. 

Ia menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sejak bermulanya wabak itu kepada 4,219,395.

Daripada kes baharu itu, Selangor melaporkan 10,623 atau 61% daripada kes yang dilaporkan semalam.

Kuala Lumpur pula berada di tempat kedua dalam senarai dengan mencatatkan kes sebanyak 1,191.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Perak (788), Pulau Pinang (730), Sarawak (648), Johor (623), Negeri Sembilan (588), Kedah (529), Pahang (496), Melaka (439), Sabah (270), Terengganu (229), Kelantan (178), Labuan (56), Putrajaya (56) dan Perlis (32).

Bagi kematian, KKM sebelum ini menjelaskan kematian yang dilaporkan setiap hari tidak berlaku dalam satu hari tetapi dalam tempoh 72 jam terakhir.

Ini bermakna 30 kematian berlaku dalam tempoh tiga hari lepas.

Johor merupakan negeri paling ramai melaporkan kematian semalam sebanyak lapan kes, diikuti Negeri Sembilan (4).

Kedah dan Melaka masing-masing melaporkan tiga kematian, Perak, Perlis, Sarawak (masing-masing dua), Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan (masing-masing satu).

Daripada lima kes kematian di luar hospital, dua dilaporkan di Kedah, dan masing-masing satu di Johor, Melaka dan Sarawak.

Kadar kematian adalah 0.3% dan kadar kematian terkumpul pada 0.8%. – 2 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen