Beku akaun bekas suami culas bayar nafkah bukan langkah terbaik, kata peguam


Angie Tan

Tidak dinafikan langkah kerajaan untuk membekukan akaun bank lelaki yang gagal membayar nafkah membantu sebahagian wanita tetapi ia bukan langkah yang sesuai untuk semua pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.

KERAJAAN digesa berhati-hati dengan rancangan membekukan akaun bank bekas suami yang enggan membayar nafkah kerana ia bukan penyelesaian terbaik dan langkah menyeluruh tanpa melihat kemampuan kewangan sebahagian bekas suami, kata peguam.

Peguam Ng Geok Chee berkata rancangan diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno bulan lepas mungkin membantu sebahagian bekas isteri memandangkan pembayaran nafkah merupakan masalah yang dihadapi ramai wanita.

“Ia akan membantu wanita, terutama mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewangan mencabar bekas suami mereka di mahkamah. Ramai daripadanya sudah berputus asa.”

Tetapi Ng memberitahu The Malaysian Insight, walaupun cadangan itu mungkin terdengar bagus di atas kertas, ia tidak begitu mudah.

Perintah mahkamah diperlukan untuk membekukan akaun, dan ini akan menimbulkan persoalan mengenai bukti yang bekas suami gagal membayar nafkah kepada bekas isteri.

“Kita juga perlu mempertimbangkan yang sesetengah pihak dalam perceraian mungkin mempunyai niat jahat, contohnya, salah seorang pasangan masih mahu ‘menghukum’ yang lain,” kata Ng, yang juga pengerusi Seksyen Wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau berkata biasanya bekas suami yang tidak membayar nafkah adalah dalam kelas pekerja.

Ng menggesa Putrajaya mengkaji lihat bagaimana Singapura mengenakan sekatan terhadap lelaki yang gagal membayar nafkah.

Tribunal memainkan peranan menyemak bukti yang dikemukakan oleh bekas isteri mengenai kegagalan membayar nafkah, dan jika keputusan itu memihak kepadanya, lesen memandu bekas suami tidak akan diperbaharui.

“Isteri boleh mengemukakan bukti melalui tribunal tanpa memerlukan peguam.

“Paling penting, keseluruhan proses ini memerlukan komitmen kewangan yang sangat sedikit.

“Alternatif lain ialah meminta jabatan imigresen membekukan akaun pihak lelaki. Ini lebih berkesan kerana mereka tidak akan dapat melakukan perjalanan ke mana-mana,” cadang Ng.

“Ramai yang enggan membayar nafkah adalah golongan pekerja. Jika kerajaan benar-benar mahu membantu wanita memperjuangkan hak mereka, ini adalah cara paling mudah dan murah untuk melakukannya,” tambahnya.

Seorang lagi peguam, Low Kin Fai berkata keadaan kewangan dan peribadi seseorang individu juga mesti dipertimbangkan.

“Bagaimana jika bekas suami muflis, menganggur atau mempunyai keluarga lain untuk dijaga?

“Di bawah keadaan ini, membekukan akaun mungkin bukan idea yang baik.

“Apabila melaksanakan ini, kerajaan perlu mengambil kira mengapa bekas suami tidak membayar nafkah. Ada yang bukan sengaja melakukannya. Bagi sesetengah orang, realitinya ialah dari segi kewangan mereka mungkin tidak mampu.”

“Kita harus melihatnya secara rasional. Jika seseorang hanya memperoleh RM5,000 tetapi diharap membayar RM4,000 sebagai nafkah, adalah mustahil,” kata Low.

Peguam Matt Wong Chong Ee berkata cadangan membekukan akaun bekas suami mungkin membantu sekumpulan wanita tertentu, tetapi ia bukan penyelesaian terbaik.

“Masih ada cara bagi mereka yang enggan membayar nafkah untuk mengelak langkah ini. Mereka boleh memindahkan wang ke tempat lain, maka apa yang boleh anda lakukan mengenainya?

“Akhirnya kita kembali kepada asal. Masih terdapat kelemahan walaupun anda membekukan akaun bank.” – 2 April, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen