MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi pembayar zakat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.
Beliau berkata, penetapan kadar RM7, RM14 dan RM21 itu dipersetujui mesyuarat jawatankuasa perundingan hukum Syara’ Wilayah Persekutuan dengan kadar wajib zakat fitrah tahun ini RM7.
Katanya, nilai RM7 itu adalah berdasarkan harga beras yang majoriti digunakan rakyat Malaysia dan bersesuaian dengan harga beras super tempatan gred lima peratus hancur yang dijadikan sebagai rujukan beras yang banyak digunakan.
“Sementara itu dua lagi kadar zakat fitrah yang ditetapkan adalah masing-masing RM14 dan RM21, kepada individu berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.
“Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idris berkata, sejajar dengan norma baharu, orang ramai boleh membuat bayaran secara atas talian menerusi 14 platform pembayaran zakat fitrah yang disediakan PPZ-WAIWP antaranya Gopay, Jompay dan Portal PPZ.
Beliau berkata, tahun ini MAIWP turut melantik 811 amil (petugas) untuk kutipan zakat fitrah di kaunter bayaran yang akan dibuka di masjid, pasar raya dan beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan orang ramai.
Katanya, setiap amil juga akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai. – Bernama, 1 April, 2022.
Komen