Pusat beli-belah dijangka meriah menjelang Hari Raya


Noel Achariam

Jumlah pengunjung di pusat membeli-belah akan dijangka meningkat menjelang Hari Raya sehingga 90% sebelum Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2022.

PUSAT beli-belah tidak menjangkakan kedatangan pelawat asing dalam masa terdekat walau sempadan dibuka semula sebaliknya akan meningkat sedikit demi sedikit, kata Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia.

Presidennya Teo Chiang Kok Teo berkata mereka lebih menjangkakan peningkatan pengunjung domestik, terutamanya untuk Hari Raya.

“Kami jangka jumlah pengunjung di pusat membeli-belah akan meningkat dengan Hari Raya yang akan tiba ini (April-Mei) iaitu antara 80-90% tahap sebelum Covid.

“Persiapan penuh sedang dijalankan untuk Hari Raya. Ini yang kami lihat yang kemudian akan diterjemahkan kepada jualan untuk kedai-kedai kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagi pelawat asing, Teo berkata mereka akan melihat peningkatan secara beransur-ansur pelancong asing mengikut masa.

“Peningkatan trafik warga asing asing dengan pembukaan semula sempadan akan ambil masa.

“Ini kemudiannya akan menambahkan lagi trafik terutamanya di pusat membeli-belah yang secara tradisinya ramai pelancong asing,” katanya.

Katanya, pusat beli-belah yang menarik trafik asing antaranya ialah Pavilion, KLCC, Sunway Pyramid dan pusat beli-belah yang terletak di Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Malaysia membuka sempadan antarabangsanya buat kali pertama sejak dua tahun semalam ketika negara memulakan peralihannya ke fasa endemik.

Kedai-kedai makan juga akan dibenarkan beroperasi untuk 24 jam, manakala perjalanan rentas negeri tidak memerlukan pengesahan vaksinasi.

Teo berkata, kadar pergerakan semakin bertambah baik sejak Disember hingga Januari 2022 tetapi menyaksikan penurunan luar biasa selepas tempoh Tahun Baharu Cina pada Februari.

“Prestasi keseluruhan pusat membeli-belah di seluruh negara berbeza-beza secara meluas antara 70-90 peratus di mana pusat membeli-belah di lokasi yang bergantung kepada pelancong masih lagi rendah.

“Ini kerana walaupun VTL Singapura (Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin) telah beroperasi, pengembara yang masuk diwajibkan untuk tidak mendarat di bandar dan oleh itu, cenderung untuk terlepas dari pusat beli-belah.”

Teo berkata, daripada trafik yang pesat, mereka yakin aktiviti ke pusat membeli-belah akan meningkat.

“Orang ramai secara amnya telah membeli-belah dalam talian untuk produk generik tetapi masih lebih suka pusat membeli-belah untuk sentuhan dan pengalaman serta untuk bersosial dan berkawan.”

Mengenai cawangan pusat beli-belah yang ditutup sejak tahun lepas hingga kini, beliau berkata ditambah pula dengan peralihan biasa kedai lama dan baharu yang keluar masuk, kekosongan di pusat membeli-belah kini antara 10-30 peratus.

Ini, katanya, dijangka kekal sehingga suku kedua tahun ini.

Bagi prosedur operasi standard (SOP), Teo berkata MySejahtera masih diperlukan untuk daftar masuk di pintu masuk pusat beli-belah.

“Masih dikehendaki mendaftar masuk di pintu masuk pusat membeli-belah, tetapi setakat ini, tiada arahan lanjut daripada pihak berkuasa untuk mendaftar masuk di kedai-kedai pusat membeli-belah atau sebaliknya.

“Kami percaya SOP perlu dilonggarkan lagi seiring dengan pembukaan semula sempadan dan kami sedang tunggu sebarang perubahan yang dijangkakan.” – 2 April, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen