KEPIMPINAN mantap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob penyebab Malaysia berjaya buka sempadan antarabangsa hari ini sekali gus membolehkan negara ambil langkah ke arah pemulihan ekonomi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata perdana menteri telah membentangkan “pelan keluar” yang jelas dan mahu para menteri membuat persiapan untuk hari ini, yang beliau percaya ianya penting untuk negara dan proses pemulihan.
“Sudah tentu ini usaha kerajaan pimpinan perdana menteri yang menetapkan satu pelan yang jelas.
“Perdana menteri minta saya dan menteri lain dalam jawatankuasa kuartet buat persiapan untuk hari ini.
“Sudah berapa bulan dah kita buat persiapan kerana kita nak lihat ini sebagai pemangkin pemulihan ekonomi negara,” kata Khairy kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada hari pertama pembukaan semula sempadan.
Malaysia menutup sempadannya lebih kurang dua tahun lalu pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan virus Covid-19.
Hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menuju ke tahap endemik Covid-19, Malaysia membuka semula sempadannya.
Khairy berkata, kementeriannya mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pembukaan sempadan negara berjalan lancar dan selamat.
Beliau berkata, kementerian itu menempatkan seramai 346 anggota kesihatan di 75 pintu masuk antarabangsa (udara, laut dan darat) di seluruh negara bagi mempercepat dan memudahkan proses kemasukan.
Khairy juga berkata, syarikat penerbangan dikehendaki memastikan pengembara mengisi MySejahtera dan mendapatkan kad pengembara sebelum berlepas ke Malaysia.
Beliau berkata, kementeriannya akan terus meningkatkan komunikasi dengan syarikat penerbangan untuk tujuan itu.
Berdasarkan jadual penerbangan hari ini, Khairy berkata, lapangan terbang di seluruh negara dijangka menerima 119 penerbangan pada hari pertama pembukaan semula sempadan negara.
Beliau berkata, dua terminal itu, KLIA dan KLIA2, akan menerima 110 penerbangan dari beberapa bandar raya antarabangsa seperti Hong Kong, Incheon, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menerima tujuh penerbangan - lima dari Singapura dan dua dari Taipei, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Ipoh masing-masing menerima satu penerbangan dari Singapura. – 1 April, 2022.
Komen