IBU tunggal Loh Siew Hong telah membuat laporan polis terhadap Dewan Ulama PAS kerana membuat kenyataan yang didakwa akan mengganggu semakan kehakimannya untuk mencabar penukaran agama tigak anaknya dibuat secara sepihak.
Malaysiakini melaporkan laporan itu buat berhubung di balai polis Sentul berhubung kenyataan Dewan Ulama PAS pada Februari yang menggesa kerajaan pastikan kanak-kanak itu tidak keluar daripada Islam.
Dalam laporan polisnya, Loh berkata kenyataan yang dimuat naik di Facebook itu berbentuk ugutan jenayah, hasutan dan salah guna multimedia.
“(Ia) bertujuan untuk menghalang saya daripada mendapatkan perintah-perintah yang dipohon dalam permohonan semakan kehakiman, yang mana prosiding masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam laporan polis seperti dipetik Malaysiakini.
Loh pada 25 Mac memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama tiga anak kepada Islam oleh bekas suami, Nagahswaran Muniandy, yang dibuat tanpa persetujuannya.
Dua anak perempuan kembar berusia 14 tahun dan seorang anak lelaki berusia 10 tahun, telah memeluk Islam pada 2020. Kanak-kanak itu telah diambil daripadanya pada 2019 ketika Loh dimasukkan ke hospital kerana kecederaan yang menurutnya dibuat oleh Nagahswaran.
Loh baru-baru ini bertemu semula dengan anak-anaknya selepas cuba mencari mereka selepas berpisah dan bercerai dengan bekas suaminya, yang kini menjalani hukuman di penjara.
Beliau mendapati anak-anaknya sudah bertukar agama tanpa persetujuannya dan ditempatkan di rumah kebajikan di Perlis.
Mahkamah baru-baru ini mengekalkan perintah kehakiman sebelum ini yang memberikan hak penjagaan kepadanya.
Susulan berita semakan kehakiman Loh, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin memberi “amaran” terhadap sesiapa yang cuba menukar kembali agama anak-anak itu. – 1 April, 2022.
Komen