JPS Negeri Sembilan rugi RM20 juta susulan banjir


JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan mengalami kerugian mencecah RM20 juta membabitkan kerosakan pelbagai aset dan sistem tebatan banjir termasuk stesen hujan berikutan banjir yang melanda negeri itu Disember lalu.

Pengarahnya, Saari Abdullah berkata ketika ini kerja pembaikan pascabanjir itu sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap dalam masa terdekat melalui peruntukan berjumlah RM14 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan.

“JPS menyusun strategi jangka masa pendek dan jangka masa panjang… tumpuan utama adalah mendalamkan semula sungai yang terjejas kerana sedimen dibawa sekali ketika banjir dan ini mengakibatkan sungai menjadi cetek.

“Jadi kita mahu dalamkan sungai untuk kembalikan seksyen sungai supaya dapat menampung air hujan yang lebat pada masa akan datang selain membaiki semula struktur yang rosak,” katanya kepada pemberita sempena Hari Terbuka Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negeri yang dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, menerusi Program Ramalan Awal Banjir Fasa 2 di Negeri Sembilan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, sebanyak 106 stesen akan dibangunkan manakala 41 stesen baharu bakal dibina dengan peruntukan RM7.2 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, stesen berkenaan dijangka berupaya memberi ramalan dan amaran banjir seminggu lebih awal berbanding dua hari sebelum ini.

Menurutnya, ia juga memberikan pendedahan kepada penduduk yang berpotensi terjejas untuk segera berpindah sekali gus memberi ruang kepada agensi penyelamat menyusun strategi pemindahan penduduk dengan berkesan.

“Dimaklumkan sistem siren baharu menggunakan sepenuhnya tenaga solar dengan keupayaan bunyi jauh lebih kuat menjangkau satu hingga dua kilometer berbanding sistem sebelum ini yang hanya sejauh 500 meter,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin turut meminta kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang dilantik sebagai ‘Sahabat Siren’ di daerah masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat mengenai sistem siren amaran banjir kepada penduduk. – Bernama, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen