PEMILIK Agenda Daily Media Enterprise Muhamad Izwan Mohd Zubit mendakwa, beliau dan syarikat itu melaksanakan sikap kewartawanan bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Muhamad Izwan, 37, selaku defendan memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi minggu lalu menerusi Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers.
Berdasarkan pernyataan pembelaan, Muhamad Izwan menafikan sekeras-kerasnya artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan’ mengandungi kenyataan bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Ismail Sabri, selaku plaintif dalam kes saman itu.
“Artikel itu satu ulasan dan analisis politik yang adil dan berjustifikasi. Sekiranya plaintif (Ismail Sabri) tidak bersetuju dengan ulasan dan analisis itu, pada bila-bila masa, plaintif selaku seorang perdana menteri dan ahli politik ternama, sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk menjawab dan menangkis semula ulasan serta analisis itu,” dakwanya.
Defendan, lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Ijazah Sarjana Muda Terjemahan dan Interpretasi, mendakwa perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ bukan satu konotasi negatif atau hina dalam politik, sebaliknya melambangkan kerendahan budi dan kebesaran jiwa seseorang ahli politik semasa merayu sokongan terhadapnya.
“Perkataan ‘rayu’ dan ‘merayu’ digunakan secara meluas dalam aktiviti politik. Contohnya ‘perayu undi’ merupakan gelaran biasa yang digunakan setiap kali pilihan raya, di mana perayu undi akan turun bertemu dengan rakyat bagi merayu undi terhadap calon pilihannya,” dakwa defendan yang berkhidmat sebagai wartawan, pemberita, editor dan penterjemah sejak 2008.
Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak) pada 27 April.
Pada 18 Februari, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Januari lalu, Agenda Daily Media menerbitkan artikel di dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.
Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud beliau terdesak untuk terus menjadi perdana menteri dengan apa cara sekalipun dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai perdana menteri adalah tempoh yang paling singkat di dalam sejarah Malaysia.
Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri, 62, mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli Umno dan sebagai perdana menteri tercemar dan penerbitan itu juga menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.
Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi supaya defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman web dan media sosial yang dikendalikan oleh defendan, selain memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan kenyataan fitnah serupa terhadap plaintif. – Bernama, 1 April, 2022.
Komen