Sri Lanka perketat keselamatan ketika rakyat marah kerajaan kerana krisis ekonomi


Selepas berbulan-bulan hidup dalam kesempitan akibat krisis ekonomi dan tenaga paling teruk, semalam rakyat Sri Lanka turun ke rumah presiden dan menyerang bangunan itu sehingga pihak berkuasa memperketatkan lagi keselamatan di sekitar Colombo. – Gambar EPA, 1 April, 2022.

IBU negara Sri Lanka berada di bawah kawalan keselamatan yang ketat pada Jumaat selepas ratusan penunjuk perasaan cuba menyerbu rumah presiden dalam malam penuh keganasan dan kemarahan ketika krisis ekonomi makin memburuk.

Negara Asia Selatan itu mengalami kekurangan yang teruk bagi barangan keperluan, kenaikan harga mendadak dan pemotongan tenaga yang melumpuhkan dalam kemerosotan yang paling teruk sejak merdeka pada 1948. Ramai bimbang Sri Lanka akan mungkir hutang.

Pergolakan malam Khamis menyaksikan ratusan orang, dihimpun oleh aktivis media sosial yang tidak dikenali, berarak ke rumah presiden Gotabaya menuntut beliau letak jawatan.

Mereka membakar dua bas tentera dan sebuah jip polis, membaling batu-bata untuk menyerang pegawai dan menghalang jalan utama ke Colombo dengan tayar yang dibakar.

Seorang cedera parah dan polis berkata lima pegawai cedera dalam pertempuran. 45 orang telah ditangkap.

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan menggunakan gas pemedih mata serta meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan. Tidak jelas sama ada mereka menggunakan peluru hidup atau peluru getah.

Perintah berkurung semalaman telah ditarik balik pada awal pagi Jumaat, tetapi kehadiran polis dan tentera dipertingkatkan di sekitar bandar, di mana bangkai bas yang terbakar masih menghalang jalan ke rumah Rajapaksa.

Pejabat Rajapaksa berkata pada Jumaat penunjuk perasaan mahu mewujudkan “Arab Spring” – merujuk kepada protes antikerajaan di Timur Tengah lebih sedekad lalu.

“Protes malam Khamis itu diketuai oleh pasukan pelampau yang menggesa Arab Spring untuk mewujudkan ketidakstabilan di negara kita,” kata pejabat presiden dalam satu kenyataan ringkas.

Rajapaksa tidak berada di rumah semasa protes, menurut sumber rasmi.

Siaran langsung oleh rangkaian televisyen swasta terhenti secara tiba-tiba selepas apa yang dikatakan wartawan sebagai tekanan daripada kerajaan.

Tetapi video yang dikongsi di media sosial disahkan tulen oleh AFP menunjukkan lelaki dan wanita menjerit “gila, gila pulang ke rumah” dan menuntut semua ahli keluarga Rajapaksa yang berkuasa berundur.

Abang presiden Mahinda berkhidmat sebagai perdana menteri manakala Basil bongsu adalah menteri kewangan. Abang sulung dan anak saudaranya juga memegang jawatan kabinet.

Kesusahan Sri Lanka telah ditambah dengan pandemik Covid-19, yang menjejaskan pelancongan.

Ramai pakar ekonomi juga mengatakan ia telah diburukkan lagi oleh salah urus kerajaan dan pinjaman terkumpul selama bertahun-tahun. – AFP, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen