Pembukaan semula sempadan legakan AirAsia


Terdapat 12 penerbangan antarabangsa AirAsia dijadualkan tiba di klia2 hari ini, satu petunjuk menggalakkan kata AirAsia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 April, 2022.

SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia menjangkakan pembukaan semula sempadan akan membantu ia memenuhi sasaran untuk mencapai faktor muatan 95% menjelang akhir tahun ini.

“Malaysia mengorak langkah penting dengan pembukaan semula sempadan. Orang ramai mahu datang ke Malaysia seperti yang kita dapat lihat melalui jualan tiket yang menggalakkan dalam beberapa minggu akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Riad berkata, terdapat 12 penerbangan antarabangsa AirAsia yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini dengan kira-kira 60% penumpang berada di dalam pesawat berkenaan, satu petunjuk yang menggalakkan.

“Hari ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan panjang ke arah pemulihan industri pelancongan di rantau ini.

“Kami diberi peluang sekarang untuk menyambung semula dan membina semula rangkaian yang kami ada sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menyambut penerbangan AK381 AirAsia dengan 140 penumpang dari Jakarta di Sepang hari ini.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April selaras dengan rancangan negara untuk memasuki tempoh peralihan kepada fasa endemik Covid-19. – Bernama, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen