Dr Mahathir patut rendahkan ego, kata pemimpin Bersatu


Dr Mahathir Mohamad enggan untuk kembali bekerjasama dengan Bersatu selepas serik dikhianati Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.

DR Mahathir Mohamad sepatutnya melihat kepada sasaran lebih besar dalam kerjasama untuk menghalang kluster mahkamah kembali berkuasa, kata pemimpin Bersatu.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Faiz Na’aman berkata, pengerusi Pejuang itu juga sepatutnya merendahkan ego dan bekerjasama demi kepentingan rakyat.

“Kita sepatutnya tumpu agenda bersama yang boleh diusahakan bersama untuk menyekat kluster mahkamah kembali berkuasa selepas PRU15.

“Kita semua patut rendahkan ego dan mula fikir langkah ke hadapan, bukan sahaja parti kita atau pengaruh politik pemimpin tertentu tetapi masa depan negara dan rakyat,” katanya.

Kluster mahkamah itu merujuk kepada pemimpin Umno yang kini menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Faiz menyiarkan kenyataan itu di Facebook bagi mengulas keengganan Dr Mahathir untuk kembali bekerjasama dengan Bersatu selepas serik dikhianati Muhyiddin.

Dr Mahathir enggan bertindak demikian kerana Muhyiddin menikamnya dari belakang, tetapi kini cuba meraih sokongannya untuk menjadi perdana menteri semula.

Beliau juga tidak mahu Muhyiddin kembali ke jawatan itu berikutan prestasi buruk yang ditunjukkan semasa menjadi perdana menteri kelapan.

Dr Mahathir berkata demikian bagi menjelaskan pertemuan dengan Muhyiddin selepas pilihan raya negeri Johor, yang menyaksikan parti berkenaan kalah teruk.

Kenyataan Faiz Na’aman seterusnya tidak menyentuh pengkhianatan dilakukan Muhyiddin namun mengangkat ahli Parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri yang baik.

“Beliau melakukan apa yang mampu untuk menjaga ekonomi negara dan kesihatan serta keselamatan rakyat Malaysia…,” katanya.

Dalam rentetan peristiwa Februari 2020 itu, Muhyiddin menarik sokongan 10 ahli Parlimen PKR dan membawa Bersatu keluar dari gabungan PH menyebabkan kerajaan tumbang.

Muhyiddin kemudian memecat Dr Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen Bersatu kerana enggan menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Presiden Bersatu kemudian menggabungkan kerajaan Perikatan Nasional bersama parti Islam PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos tahun lepas selepas 15 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Sepanjang 17 bulan memegang jawatan Muhyiddin menguatkuasakan tiga kawalan pergerakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau juga menguatkuasa perintah darurat yang dikritik hebat kerana menghalang Parlimen bersidang. – 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen