Umat Islam perlu terus patuh SOP ketika solat berjemaah, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata pematuhan SOP ketika menghadiri sebarang program keagamaan sepanjang Ramadan juga perlu dipraktikkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2022.

UMAT Islam di negara ini diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 ketika menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal (rapat saf) di masjid dan surau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata pematuhan SOP juga perlu dipraktikkan ketika menghadiri sebarang program keagamaan sepanjang Ramadan.

“Aspek pematuhan SOP perlu dikekalkan. Yang belum ambil vaksin atau dos penggalak, perlu segera berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri pada 8 Mac lepas mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April 2022.

Idris dalam pada itu menasihatkan ‘geng plastik hitam’ agar tidak mengulangi perbuatan sama untuk mengelakkan diri dari terus dibelenggu dosa kerana tidak berpuasa wajib ketika Ramadan. – Bernama, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen