Noor Hisham ingatkan orang ramai terus amalkan SOP


Semasa fasa peralihan, masyarakat perlu belajar hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah kesihatan awam. – Gambar AFP, 1 April, 2022

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai negara kini hanya berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, dan belum lagi memasuki fasa endemik.

Justeru, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini masih perlu diamalkan bagi memastikan Malaysia dapat beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat.

Katanya, semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus Covid-19 dalam keadaan paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

“Pengurusan pandemik Covid-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keprihatinan kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kes baharu Covid-19, Noor Hisham berkata negara berada di bawah paras 20,000 selama lima hari berturut-turut dengan 18,560 kes dilaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes baharu kini 4,201,919 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 18,435 kes atau 99.33% adalah kategori satu dan dua manakala 0.67% atau sebanyak 125 kes adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Kes sembuh Covid-19 mencatatkan 18,253 kes semalam, menjadikan kes kumulatif sembuh  direkodkan dalam negara sehingga kini adalah sebanyak 3,960,082 kes.

Menurut Noor Hisham, tiada kluster baharu Covid-19 dilaporkan semalam dan sebanyak 198 kluster didapati masih aktif setakat ini.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau nilai Rt di seluruh negara yang dicatatkan semalam adalah 0.87 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.06 manakala kadar paling rendah dicatatkan di Sabah iaitu 0.64.

Katanya, tiga negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50% dengan tertinggi di Kuala Lumpur pada tahap 57%, diikuti Perlis (55%), dan Selangor (50%). – Bernama, 1 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen