INDIVIDU yang mempunyai “imuniti hibrid” kerana sudah mendapat vaksin lengkap dan sebelum ini pernah dijangkiti Covid-19 mempunyai perlindungan paling kuat terhadap virus itu, kata dua kajian baharu pada Jumaat.
Selepas dua tahun pandemik yang menyaksikan hampir 500 juta orang dijangkiti dan berbilion-bilion divaksinasi, kajian itu menekankan kepentingan mendapatkan suntikan bagi mereka yang mempunyai imuniti semula jadi selepas pulih daripada penyakit itu.
Satu daripada dua kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan “The Lancet Infectious Diseases” menganalisis data kesihatan lebih 200,000 orang pada 2020 dan 2021 di Brazil yang dilanda teruk, dengan angka kematian akibat Covid-19 kedua terbesar di dunia.
Ia mendapati individu yang sudah divaksin Covid-19, Pfizer dan AstraZeneca menawarkan 90% keberkesanan terhadap kemasukan ke hospital dan kematian, CoronaVac China 81% dan vaksin suntikan tunggal Johnson & Johnson sebanyak 58%.
“Keempat-empat vaksin ini terbukti memberikan perlindungan tambahan yang ketara bagi mereka yang pernah dijangkiti Covid-19,” kata pengarang kajian Julio Croda dari Universiti Persekutuan Mato Grosso do Sul.
“Imuniti hibrid akibat pendedahan kepada jangkitan semula jadi dan vaksinasi berkemungkinan menjadi norma di seluruh dunia dan mungkin memberikan perlindungan jangka panjang walaupun terhadap varian yang muncul,” kata Pramod Kumar Garg dari Translational Health Science and Technology Institute, India dalam satu ulasan yang dikaitkan dengan kajian itu.
Kajian menggunakan daftar Sweden sehingga Oktober 2021 mendapati pesakit yang pulih daripada Covid-19 mengekalkan tahap perlindungan yang tinggi terhadap jangkitan semula sehingga 20 bulan.
Individu yang mempunyai imuniti hibrid dua dos vaksin mempunyai risiko jangkitan semula 66% lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai imuniti semula jadi.
Paul Hunter, seorang profesor dalam bidang perubatan di University of East Anglia yang tidak terlibat dalam kajian itu, memberitahu AFP yang 20 bulan “perlindungan sangat baik” berbanding imuniti semula jadi adalah “jauh lebih baik daripada yang kita jangkakan bagi dua dos asal jadual vaksin”.
Tetapi beliau memberi amaran kedua-dua kajian dibuat sebelum varian Omicron menjadi dominan di seluruh dunia, dan ia menurunkan kadar perlindungan sebelum jangkitan.
Satu kajian di Qatar yang diterbitkan di laman web pra-penerbitan medRxiv minggu lalu memberi gambaran tentang perlindungan yang ditawarkan oleh imuniti hibrid terhadap Omicron.
Ia mendapati tiga dos vaksin mempunyai keberkesanan 52% terhadap jangkitan simptomatik subvarian BA.2 Omicron—tetapi jumlah itu melonjak kepada 77% apabila pesakit pernah dijangkiti sebelum ini.
Kajian yang belum disemak saintis lain, mendapati “imuniti hibrid yang terhasil daripada jangkitan terdahulu dan vaksin penggalak baru-baru ini memberikan perlindungan paling kuat” terhadap kedua-dua subvarian BA.1 dan BA.2. – AFP, 1 April, 2022.
Komen