Sri Lanka kehabisan diesel, putus bekalan elektrik paling lama


Krisis ekonomi yang berlarutan telah mencetuskan kemarahan di seluruh Sri Lanka, dengan televisyen tempatan melaporkan bantahan di seluruh negara apabila ramai rakyatnya turun ke jalan raya menyatakan ketidakpuasan hati. – Gambar EPA, 31 Mac, 2022.

DIESEL tidak lagi dijual di seluruh Sri Lanka pada Khamis sekali gus melumpuhkan pengangkutan ketika 22 juta penduduk negara yang dilanda krisis itu mengalami pemadaman bekalan elektrik paling lama.

Negara Asia Selatan itu berhadapan krisis ekonomi paling teruk sejak merdeka berikutan kekurangan mata wang asing untuk membayar import.

Diesel, bahan api utama untuk bas dan kenderaan komersial, tidak tersedia di stesen di seluruh pulau itu, menurut pegawai dan laporan media.

Petrol dijual tetapi kekurangan bekalan, memaksa pemandu untuk meninggalkan kereta mereka dalam barisan panjang.

“Kami sedang menyedut bahan api daripada bas yang berada di garaj dan guna diesel itu untuk kendalikan kenderaan yang boleh diservis,” kata Menteri Pengangkutan Dilum Amunugama.

Pemilik bas persendirian berkata mereka sudah kehabisan minyak dan perkhidmatan mungkin tidak dapat berjalan selepas Jumaat.

“Kami masih guna stok diesel lama, tetapi jika kami tidak dapat bekalan petang ini, kami tidak akan dapat beroperasi,” kata pengerusi persatuan pengusaha bas swasta Gemunu Wijeratne kepada AFP.

Monopoli elektrik negeri berkata mereka akan dipaksa untuk menguatkuasakan pemotongan kuasa selama 13 jam mulai Khamis kerana mereka tidak mempunyai diesel untuk menjana tenaga.

“Kami dijanjikan bekalan baharu dalam masa dua hari dan jika itu berlaku, kami boleh kurangkan tempoh pemadaman elektrik,” kata pengerusi Lembaga Elektrik Ceylon M. M. C. Ferdinando kepada pemberita.

Beliau berkata empangan hidro, yang menyediakan lebih satu pertiga daripada permintaan elektrik, juga amat rendah.

Pemotongan kuasa yang panjang memaksa Bursa Saham Colombo mengehadkan dagangannya selama setengah hingga dua jam, manakala banyak pejabat meminta kakitangan yang tidak penting untuk tinggal di rumah.

Catuan elektrik juga melanda stesen pangkalan telefon mudah alih dan menjejaskan kualiti panggilan, kata pengendali, menambah penjana siap sedia mereka juga tiada diesel.

Masalah-masalah itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh Sri Lanka, dengan televisyen tempatan melaporkan bantahan di seluruh negara apabila beratus-ratus pemandu menyekat jalan utama di beberapa bandar.

Beberapa hospital kerajaan telah menghentikan pembedahan kerana mereka kehabisan ubat penting yang menyelamatkan nyawa, manakala kebanyakannya telah menghentikan ujian diagnostik yang memerlukan bahan kimia import.

Colombo mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 dalam usaha menyelamatkan mata wang asing yang diperlukan untuk membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion.

Tetapi ini telah menyebabkan kekurangan barangan keperluan yang meluas dan kenaikan harga yang mendadak.

Kesusahan Sri Lanka diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, yang menjejaskan pelancongan dan pengiriman wang.

Ramai ahli ekonomi juga menyalahkan salah urus kerajaan termasuk pemotongan cukai dan defisit bajet selama bertahun-tahun. – AFP, 31 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen