SEPASANG suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuching, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Ling Kok Liang, 51, dan Wendy Chai Xue Zhen, 36, sebaik pertuduhan membunuh Eric Chang Wei Jie dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian kepada Eric di No 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, Kuching antara pukul 5 petang 4 Mac hingga 9.15 pagi pada 8 Mac.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Majistret kemudian menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Eric dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, di Kuching, pada 7 Mac lepas.
Pada 13 Mac lepas, polis mengklasifikasikan kes kehilangan Eric sebagai kes bunuh melibatkan dua suspek iaitu pasangan penjaga yang ditahan.
Operasi pencarian Eric di sekitar perairan sungai Muara Tebas di Kuching juga dihentikan pada 19 Mac lalu akibat beberapa kekangan antaranya faktor bentuk muka bumi, ancaman binatang buas, cuaca dan keadaan air pasang surut. – Bernama, 31 Mac, 2022.
Komen