Mentaliti penjilat T20


Hadri Shah

KINI, saya merindui telefon Nokia.

Lebih terhad. Lebih tenang. Dan lebih banyak masa berbuat benda lain daripada melengkapkan ibadah memegang telefon 24 jam.

Telefon pintar yang diyakini lebih canggih, hip dan mendekatkan kaum pengguna dengan dunia hanya saya gunakan secara rasmi sekitar tahun 2016.

“Terpaksa pakai” – ini jawapan klise paling mudah boleh saya berikan sekiranya ditanya mengapa akhirnya memilih menjadi manusia mendakap ‘kemodenan’.

Dan sejak memakainya, saya akui dunia terasa sangat luas. Segalanya lekas sampai ke tangan. Memudahkan. Itu, tidak saya nafikan.

Namun, sebanyak mana ia menyenangkan, sejuta kali kebisingan dan kegelisahan mesti saya tanggung sebagai beban.

Setiap hari, telefon pintar menemukan saya dengan dunia tular yang penuh hipokrasi.

Dari cerita Kak Long Seven E ke drama ‘soft porn’ Zul Ariffin, singgah sebentar ke Hollywood menyaksikan ‘The Greatest History of Televison’ bak kata Chris Rock, sehinggalah isu nasional terbaru yang wajib kita bincangkan: cerita pensyarah dan pelajar B40.

Setiap satu situasi pastinya datang bersama hujah, bebelan dan pemborosan pendapat. Terlalu bising. Entah siapa sebenarnya mengemis jutaan pendapat-pendapat mereka? Semuanya ramah berlangsung tanpa sempadan di telefon pintar.

Ada kalanya, saya menganggap bebelan-bebelan yang merayap di atmosfera media sosial sebagai bahan jenaka; hiburan melepaskan lelah bekerja.

Bagaimanapun, apabila ia melibatkan peremehan terhadap golongan tertindas dan marginal, saya fikir, menjadi tanggungjawab penulis memegang pena menulis mendirikan pendirian.

Dalam banyak-banyak hantaran dimuat naik di sosial media berkaitan isu ini, saya tergamam membaca satu hantaran yang mengatakan pelajar B40 yang tidak memiliki laptop di semester 5 sebenarnya tidak ambil kisah pun dengan hal pembelajaran. Dan itulah mentaliti sebenar kaum B40, kata hantaran tersebut.

Kenyataan ini benar-benar melukakan hati saya.

Bagaimana ada manusia moden yang kononnya menolak perang, kekerasan dan penindasan tergamak membuat hantaran sedemikian?

Apakah semua orang miskin dalam dunia ini bersikap  acuh tak acuh dengan pendidikan?

Apakah selama mereka hidup dalam kemiskinan, mereka mesti menggadai apa sahaja yang ada untuk membeli sebuah laptop baharulah kita yakin mentaliti mereka sudah berubah?

Sejarah dari zaman purbakala sehingga peradaban manusia zaman moden telah lama mencetak, bahawa kenyataannya kekayaan, tidak seperti iman boleh diwarisi. Begitu juga perihal kemiskinan.

“Oh, taklah. Kemiskinan boleh diubah,” kata kita. Lihatlah Dr Mahathir Mohamad. Contoh klasik bagaimana anak si miskin yang berjaya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Bukan sekali. Tetapi dua.

Ataupun kita galak bersurah mengenai riwayat hidup Syed Mokhtar Albukhary bersama seekor lembu yang dibelanya sebelum bertukar menjadi antara orang Melayu terkaya di Malaysia.

Atau tiba-tiba kita petik nama usahawan-usahawan kegemaran yang kerap live di media sosial menyogok idea menjadi kaya dengan modal ‘orang kaya mampu bayar zakat lebih banyak’.

Walau apapun, menguruskan situasi miskin bukan semudah menanganinya dengan menjadi kaya. Kemiskinan mesti serius dibereskan dengan kepedulian.

Jika kita enak menuduh si B40 memang sejak azali bermentaliti tidak pedulikan pendidikan, apakah makna kajian Unicef dalam laporan  Keluarga di Pinggiran yang mengatakan perbelanjaan keluarga untuk tujuan pendidikan anak-anak adalah yang paling tinggi dipotong oleh keluarga B40 di bandar?

Kita mempunyai seribu satu sebab untuk terus menekan, menuduh serta memperlekehkan si miskin kerana kita tahu orang miskin tidak berdaya berbuat apa-apa.

Kita boleh saja lepas mulut mengatakan B40 sepatutnya melebihkan perbelanjaannya untuk pendidikan. Walaupun kita tahu perut mereka kenyang angin.

Kita boleh saja lepas mulut mengatakan B40 mesti pandai berjimat cermat. Sedangkan kita membutakan mata saat perbelanjaan bulanan mereka habis sebanyak 90 peratus untuk tujuan kehidupan asasi sahaja.

Dan kita boleh saja lepas mulut mempersoalkan “laptop tidak boleh beli, tetapi telefon pintar boleh pula”.

Maka apabila anak-anak ini tercicir, benarlah penilaian kita selama ini terhadap B40; mentaliti miskin mereka, malas, tidak peduli, ambil mudah, tidak pandai cari peluang, tak cukup usaha, itu dan ini.

Lain pula dengan anak orang kaya. Malas, bodoh dan kurang daya berfikir seteruk mana pun, kita tetap setia menyanjung.

Kerana mereka ini, walaupun gagal SPM, perhabis harta mak ayah belajar di Amerika dan tetap cemerlang gagal, bila mereka pulang ke tanah air, mereka akan menjadi bos kita, mereka akan arahkan itu, ini dan kita akan menurut seperti seorang hamba yang taat dan soleh.

Apabila perusahaan berjaya, mereka mendabik dada. Itu tanda hasil usaha dan kerja keras. Sudah pasti, sebagai hamba yang taat lagi soleh, kita bersetuju. Malah, kita tepuk tangan, bersorak dan hamparkan permaidani merah ketika mereka berjalan. Kita jadikan mereka idola sepanjang hidup.

Pada pemerhatian kasar saya, inilah mentaliti penjilat orang kaya (T20 dan ke atas).

Mereka ini, sebenarnya tidaklah kaya mana pun. Kalau bekerja makan gaji, mereka mungkin berada dalam golongan pertengahan M40 yang bercita-cita pencen muda makan duit main NFT.

Kalau berniaga pula, mungkin sekali sekala pernah mencium nikmat pendapatan RM20,000 sebulan sebelum dihabiskan bagi mengkayakan sifu-sifu bisnis mereka.

Dalam situasi pensyarah dan pelajar B40, yang mesti kita tumpukan adalah persoalan mengenai mengapa sehingga semester ke-5 pelajar itu tidak memiliki alat belajar yang sepatutnya.

Jika pendidikan ialah proses memanusiakan manusia, ia sepatutnya memerdekakan pemikiran manusia. Dalam hal ini, kita sepatutnya berada dalam posisi bagaimana menyediakan keperluan kepada semua anak-anak tanpa batas apa pun.

Itu maha utama, kerana, dalam uruskan pendidikan, berdosalah kita sekiranya sengaja membiarkan anak-anak tercicir dalam peluang pembelajarannya. Kita semua pernah menempuhi alam persekolahan, universiti dan kolej.

Kita kenal para pendidik yang garang dan tegas tetapi dalam masa yang sama mengsinpirasi dan memberi harapan. Kita juga kenal ahli pendidik yang mengecewakan dan lebih dekat dengan anak-anak berstatus tinggi dari mereka yang tidak berada.

Ternyata dalam kes ini, bukan soal jasa dan sebanyak mana bantuan pensyraha itu berikan, tetapi lebih dari itu, mengapa kemiskinan dipersendakan?

Malang sekali, dalam dunia serba bising di mana manusia didalam perut bumi semakin bankrap moral dan korup pemikirannya, kita sentiasa kaya dengan sifat memperlekehkan orang-orang yang terpinggir, miskin dan ditindas.

Lihatlah cara kita berurusan dengan kemiskinan dan bandingkanlah dengan cara kita mempertuhankan mereka yang kaya, ada keistimewaan dan berpengaruh.

Pada saat ini, saya teringatkan buku Saharil Hasrin Sanin bertajuk ‘Tentang’.

Kata Saharin: “Yang engkau tidak sedar: yang membentuk dunia adalah sengsara bukan  kekayaan. Maka, tidak usahlah engkau berbangga diri dan membanding hidup dengan orang-orang miskin. Kononnya engkau lebih berjaya. Tidak ada maknanya. Tangan-tangan mereka yang miskinlah yang akan kelak menggoncang dunia.” – 31 Mac, 2022.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen