Pahang benar solat jemaah rapat sejadah tanpa sentuhan fizikal


Pahang membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau secara merapatkan sejadah tanpa sentuhan fizikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mac, 2022.

PAHANG membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau secara merapatkan sejadah tanpa berlaku sentuhan fizikal, dengan kehadiran terbuka kepada semua sama ada divaksin atau belum, berkuatkuasa Jumaat ini (1 April).

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi memaklumkan, sejadah tersebut hendaklah dibawa sendiri oleh setiap jemaah, dengan  saiz minimum 110 sentimeter (sm) panjang dan 70sm lebar.

“Masjid dan surau dibenarkan melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat. Jumlah jemaah adalah tertakluk kepada keluasan kapasiti masjid atau surau, dan kemampuan kawalan terhadap jemaah selain pihak pengurusan digalakkan menyediakan ruang khas untuk jemaah musafir,” menurut kenyataan itu.

Bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar atau kawasan ‘hotpsot’, solat fardu secara berjemaah dibenarkan dengan bilangan 12 orang sahaja, manakala solat Jumaat dibolehkan kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dengan keutamaan kepada mereka yang lengkap suntikan vaksin.

Bagaimanapun, individu bergejala atau menerima arahan wajib kuarantin adalah dilarang hadir ke masjid atau surau. 

Kebenaran juga diberikan bagi penganjuran aktiviti pengajian ilmu dan keagamaan seperti kuliah, kelas pengajian al-Quran, qiamullail, seminar, kursus haji dan umrah, penyampaian sumbangan, mesyuarat serta sambutan hari kebesaran Islam.

“Kehadiran imam, khatib dan penceramah dari luar Pahang adalah dibenarkan, dan mereka perlu melakukan ujian saringan menggunakan kit ujian kendiri dengan disaksikan oleh penganjur, selain hendaklah melengkapkan permohonan dalam sistem e-Perakuan,” menurut kenyataan JAIP lagi.

Bukan warganegara atau bukan ahli kariah kawasan, serta kanak-kanak berusia lima tahun ke atas dibenarkan hadir ke masjid atau surau, dengan semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Jamuan termasuk majlis berbuka puasa, moreh dan sahur juga dibenarkan dengan penyediaan makanan digalakkan secara berbungkus, selain turut dibolehkan ialah aktiviti gotong-royong memasak untuk jamuan tersebut.

“Masjid dan surau hendaklah disanitasi sekerap mungkin dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan melakukan pemeriksaan pada bila-bila masa. Masjid atau surau yang didapati gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen