400,000 orang dijangka guna laluan darat ke Singapura pada minggu pertama, kata MB Johor


Hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara bermula Jumaat ini. – Gambar EPA, 30 Mac, 2022.

HAMPIR 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara bermula Jumaat ini.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru akan beroperasi sepenuhnya bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

“Ketika prapandemik, hampir 400,000 pengguna masuk dan keluar setiap hari, jadi 400,000 orang ini kita jangkakan untuk tujuh hari sekurang-kurangnya dari 1 hingga 7 April. Semua kaunter akan dibuka dan beroperasi 100 peratus di kedua-dua CIQ, mereka juga telah membuat segala persediaan tersebut.

“Jabatan Penerangan Johor juga akan menyediakan infografik yang akan dipaparkan di sosial media, supaya pengembara tahu apa prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan, paling penting mereka perlu muat turun aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas meninjau ‘dry run’ pembukaan semula sempadan di Kompleks CIQ KSAB di Tanjung Kupang hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong. – Bernama, 30 Mac, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen