Tiada sekatan terhadap individu hilang status 'divaksin sepenuhnya', kata Khairy


Ravin Palanisamy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tiada sekatan dikenakan ke atas mereka yang hilang status vaksinasi 1 April ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Mac, 2022.

INDIVIDU yang akan kehilangan status vaksin sepenuhnya mulai 1 April masih dibenarkan melakukan semua aktiviti mereka tanpa sebarang sekatan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Menteri kesihatan berkata dua butiran vaksinasi dos utama mereka masih kekal dalam aplikasi MySejahtera yang membolehkan mereka mengakses semua tempat.

“Mereka masih boleh melakukan aktiviti serupa seperti yang dibenarkan kepada individu yang divaksin sepenuhnya seperti makan di restoran, memasuki pusat membeli-belah, tempat kerja dan tempat ibadat.

“Sehubungan itu, pemilik-pemilik premis perlu pastikan bahawa hanya pelanggan atau pengunjung yang telah sekurang-kurangnya melengkapkan vaksinasi dos primer dibenarkan masuk ke premis perniagaan, rumah ibadat dan lain-lain yang berkenaan,” kata Khairy dalam satu kenyataan.

Mulai Jumaat individu dewasa di Malaysia yang mengambil vaksin Sinopharm dan Sinovac serta semua warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin yang diambil akan kehilangan status vaksin sepenuhnya jika mereka tidak mengambil suntikan dos penggalak. 

Khairy menambah rakyat Malaysia yang ingin mengakses tempat dan meneruskan aktiviti harian mesti divaksin dengan sekurang-kurangnya dua dos vaksin Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac atau satu dos vaksin Johnson & Johnson atau CanSino.

Beliau berkata mereka dalam kumpulan yang dinyatakan di atas mesti sudah melepasi 14 hari dari tarikh vaksinasi sebelum mereka boleh memasuki mana-mana premis.

Khairy bagaimanapun berkata kelonggaran yang diberikan dalam prosedur operasi standard (SOP) terkini tidak bermakna golongan ini tidak perlu mendapat dos penggalak.

Beliau berkata data dalam kalangan penerima vaksin menunjukkan tahap perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 menurun sehingga 20% untuk dua dos vaksin Pfizer berbanding 40% untuk dua dos vaksin Sinovac dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas vaksinasi primer. – 30 Mac, 2022.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen