CAMPUR tangan Putrajaya mungkin satu-satunya cara untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyelesaikan “perang air” mereka atau sektor pertanian di negeri utara akan terjejas teruk, kata pemerhati.
Mereka juga merasakan bahawa “perang” lebih kepada kepentingan politik dan parokial daripada perniagaan atau kemampanan sedangkan sebenarnya krisis air besar akan menjejaskan semua negeri yang berkenaan.
Pulau Pinang yang bergantung kepada Sungai Muda yang mengalir dari Kedah untuk kebanyakan bekalan airnya berdepan kekurangan air berkala semasa musim kemarau dan terperangkap di tengah-tengah konflik ini.
Kedah mahu ia membayar bayaran tahunan untuk bekalan air mentah yang Pulau Pinang mengambil secara percuma dari Sungai Muda di sempadan negerinya. Di selatan percubaan Pulau Pinang untuk melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) telah berdepan halangan.
Sebelum ini Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menuntut bayaran tahunan RM50 juta untuk air mentah yang dibekalkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.
Pada Januari Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau akan menunggu tindakan Kedah seterusnya berikutan pelantikan Sanusi sebagai panel peguam untuk mengendalikan pertikaian mengenai caj air mentah antara kedua-dua negeri.
Chow juga berpendapat bahawa mengikut undang-undang antarabangsa sesiapa sahaja mempunyai hak riparian untuk penggunaan air mentah.
Sementara itu di Perak SPRWTS yang cuba dilaksanakan Pulau Pinang sejak 2013 mengalami kelewatan kerana Perak berkata ia tidak mempunyai bekalan air mentah mencukupi untuk keperluan mereka sendiri.
SPRWTS adalah sebahagian daripada Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang (PWSI) 2050 dan bertujuan menangani kekurangan air mentah Pulau Pinang menjelang 2030.
Dr Mohd Firdaus Abdullah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu The Malaysian Insight penglibatan Putrajaya adalah penting untuk memastikan penyelesaian secara baik antara semua pihak.
Pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Sejarah, Politik & Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA) UKM itu merupakan pakar dalam pembangunan air.
Beliau berkata situasi semasa lebih kepada pertikaian politik antara Kedah pimpinan PAS dna Pulau Pinang pimpinan DAP bukannya sebarang kebimbangan perniagaan sebenar.
“Kita boleh katakan ini politik air. Pada abad ini kita tidak perlu lagi membawa senjata. Apa yang kita perlukan ialah perang air.
“Pulau Pinang melakukan apa yang akan dilakukan oleh mana-mana negeri lain jika mereka berdepan masalah sama. Mengetahui mereka perlu mencari alternatif Pulau Pinang meminta bantuan Perak untuk bekalan air mentah.
“Tetapi memandangkan perbezaan politik Perak juga berkata ‘tidak’ kepada Pulau Pinang,” kata Mohd Firdaus. – 31 Mac, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen