Hospital Sri Lanka habis ubat penting untuk selamatkan pesakit


Seorang wanita menunggu dalam barisan untuk membeli minyak tanah untuk kegunaan rumah di Colombo, ketika Sri Lanka berhadapan krisis ekonomi paling teruk sejak merdeka sehinggakan hospital turut terjejas dengan kekurangan bekalan ubat untuk merawat dan membedah pesakit. – Gambar AFP, 30 Mac, 2022.

HOSPITAL milik kerajaan Sri Lanka kehabisan ubat-ubatan yang penting untuk menyelamatkan nyawa kerana tidak mampu mengimport barangan keperluan ketika negara itu dilanda krisis ekonomi yang paling teruk, kata pegawai pada Selasa.

Hospital Pengajar Peradeniya yang berkhidmat untuk 2.4 juta penduduk di wilayah Tengah berkata ia menangguhkan semua pembedahan rutin dan kehabisan ubat anestetik serta keperluan lain untuk pembedahan.

Kesatuan sekerja kesihatan utama berkata masalah di Peradeniya adalah perkara biasa di kebanyakan hospital negeri di mana pembekal tidak dibayar selama lebih enam bulan.

Seorang pakar bedah di Hospital Nasional utama di Colombo berkata mereka kekurangan banyak ubat penting dan pesakit diminta bawa sendiri insulin mereka.

“Keadaan sangat teruk. Kami memerlukan inisiatif pengurusan bencana untuk menangani keadaan yang semakin teruk,” kata Ravi Kumudesh, ketua Persatuan Juruteknologi Makmal Perubatan (MLTA).

Beliau berkata mereka tidak dapat menjalankan diagnostik kerana kebanyakan bahan kimia dan penyelesaian yang diperlukan untuk ujian mereka tidak tersedia secara percuma di hospital negeri.

Sementara itu, kerajaan berkata ia membenarkan pembekal menaikkan 30 peratus harga semua peranti perubatan, termasuk stent untuk pesakit jantung.

Rakyat Sri Lanka terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk membeli makanan, bahan api dan juga ubat-ubatan kerana kekurangan dolar telah membawa kepada kekurangan import dalam krisis ekonomi terburuk negara itu sejak merdeka pada 1948.

Inflasi negara mencecah rekod 17.5 peratus pada Februari dengan inflasi makanan mencecah 25 peratus.

Menteri Luar India S. Jaishankar, yang berada di Sri Lanka untuk mesyuarat serantau, berkata beliau “terganggu” dengan kekurangan perubatan dan meminta kedutaan untuk mencari bantuan.

Kementerian kesihatan Sri Lanka berkata ia juga sedang berusaha cari bekalan untuk sambung semula pembedahan di Peradeniya. – AFP, 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen