SEMAKIN menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat Malaysia boleh menjangkakan lebih banyak “berita palsu” akan disebarkan oleh kedua-dua kerajaan pemerintah dan pembangkang, kata penganalisis politik.
Walaupun kedua-dua belah pihak masing-masing akan berkata mereka menjadi mangsa fitnah, Barisan Nasional (BN) dijangka akan mendapat manfaat dari perang propaganda kerana ia memiliki dan mengawal media arus perdana.
Namun, sesetengah penganalisis berpendapat rakyat Malaysia harus bijak dan dan lebih kritikal terhadap apa yang dibaca supaya mereka tidak terpengaruh dengan segala pembohongan yang dipaparkan.
Prof Zaharom Nain dari Kampus Universiti Nottingham Malaysia berkata pembohongan dan propaganda akan terus meningkat semasa musim pilihan raya untuk merosakkan nama baik individu tertentu, terutamanya pemimpin pembangkang.
Zaharom merujuk kepada sidang akhbar oleh bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada Jumaat lalu, yang berkata beliau menerima maklumat bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi pembangkang untuk bertemu peminpim-pemimpin di Amerika Syarikat (AS).
Aziz mendakwa delegasi yang dijadual akan berlepas pada 20 Februari, mendapatkan bantuan asing supaya Perdana Menteri Najib Razak dapat digulingkan.
Dakwanya lagi, PH juga berusaha mendapatkan sokongan sekiranya pakatan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 yang mesti diadakan sebelum Ogos.
“Dalam kes ini, tuduhan mengatakan Dr Mahathir merancang bekerjasama dengan orang asing untuk menjatuhkan Najib membuatkan seolah-olah Dr Mahathir dan pembangkang mengancam kemerdekaan dan autonomi Malaysia,” kata Zaharom dari Pusat Kajian Komunikasi dan Kebudayaan.
“Dr Mahathir sendiri sebelum ini beberapa kali buat perkara yang sama, menyerang organisasi masyarakat awam dan pengkritik lain kerana menjadi pak turut kepada imperialis Barat. Taktik lama timbul semula.”
Pada sidang akhbar pada Jumaat lalu, Tunku Aziz berkata: “Saya diberitahu misi mereka ke AS, untuk bertemu pemimpin di sana, ialah untuk menjelaskan mengenai keadaan politik di Malaysia. Ini menyedihkan dan mengecewakan.”
Dalam responnya, Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein menggelar Dr Mahathir “hipokrit” dan menegaskan perkara itu berbeza semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang tindakan seumpama itu merupakan satu kepantangan baginya.
Pemimpin PH Rais Hussin menafikan dakwaan Tunku Aziz dengan mengatakan ia adalah “berita palsu”. – 11 Februari, 2018.
Komen