PM tiba di UAE untuk lawatan rasmi 3 hari


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Dubai hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Dubai hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat yang membawa perdana menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum pada pukul 6.35 petang waktu tempatan (10.35 malam waktu Malaysia).

Beliau yang diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah disambut Duta Besar Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Mohd Hasril Abdul Hamid.

Pada Rabu, perdana menteri akan menghadiri program khas di Expo 2020 Dubai dan dijadualkan melawat ke Pavilion Malaysia.

Beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan syarikat-syarikat asing.

Expo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan sejak Oktober tahun lepas sehingga 31 Mac ini.

Selepas itu, Ismail Sabri akan mengadakan sesi libat urus dan menghadiri majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia.

Ini merupakan lawatan rasmi yang julung kali buat Ismail Sabri ke UAE selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.

Perdana Menteri berlepas dari Doha ke UAE selepas beliau melakukan lawatan rasmi tiga hari di Qatar sejak Sabtu lepas.  

Semalam, perdana menteri melawat Ladang Baladna dan Kemudahan Tenusu selain daripada Ladang Organik Agrico di Al-Khor, kira-kira 50 km dari Doha.

Beliau juga mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan keluarga Malaysia di Doha.

Awal hari ini Ismail Sabri diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan dan selepas itu beliau menghadap Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Perdana menteri kemudian menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Amir Qatar sempena lawatan beliau.

Ini merupakan lawatan rasmi sulung Ismail Sabri ke Qatar selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. – Bernama, 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen