Rakyat Malaysia di Singapura teruskan perjalanan harian sebaik sempadan dibuka


Angie Tan

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengeluarkan kenyataan bersama mengumumkan pembukaan semula sempadan darat bermula 1 April. – Gambar EPA, 30 Mac, 2022.

RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura akan meneruskan perjalanan harian sebaik sahaja sempadan dibuka semula pada 1 April.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight sejak dua tahun lalu mereka tidak mempunyai pilihan selain tinggal di Singapura untuk mencari rezeki.

Keputusan itu bagaimanapun membuatkan mereka kehilangan masa berkualiti bersama rakan dan keluarga, kata mereka.

Penyambut tetamu Jims See berkata dia tidak pulang ke rumah sejak 18 Mac 2020 di mana hari sempadan ditutup.

“Sempadan ditutup terlalu lama. Saya kehilangan banyak masa bersama keluarga dan melihat anak-anak saya membesar,” katanya.

See berkata dia akan meneruskan perjalanan hariannya apabila sempadan darat antara Malaysia dan Singapura - Tambak dan Link Kedua dibuka semula pada 1 April.

“Oleh kerana saya bekerja di Singapura saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Bagi meluangkan masa untuk kedua-duanya saya akan mula berulang-alik. Saya tidak akan memperbaharui sewa untuk rumah di Singapura.

“Tetapi saya tidak akan kembali serta-merta pada 1 April, saya mahu mengelak orang ramai dan risiko jangkitan,” katanya.

See berkata terdapat risiko yang perlu dilaluinya dalam perjalanan setiap hari tetapi ini adalah langkah yang perlu diambilnya untuk kembali ke kehidupan seharian sebelum wabak menganggu.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang sudah bekerja di Singapura selama 15 tahun dalam industri peranti perubatan Ho Sau Lian berkata dia sangat teruja apabila mendapat tahu berkenaan pembukaan semula sempadan.

“Telefon saya terus berbunyi pada hari pengumuman dibuat kerana rakan dan rakan sekerja saya tidak percaya,” katanya.

Memandangkan syarikatnya masih menyediakan elaun perumahan Ho berkata dia memutuskan untuk tidak berulang-alik setiap hari buat masa ini.

“Saya memang bercadang untuk pulang pada petang 1 April, menetap dua hari sebelum pulang ke Singapura. Saya mahu melihat sama ada semuanya berjalan lancar di pusat pemeriksaan.

“Pada mulanya mungkin ada kekeliruan. Saya akan lihat keadaan dahulu jika semuanya berjalan lancar saya akan kembali ke Johor Bahru,” katanya.

Sebelum wabak Ho dan anaknya tinggal bersama. Tetapi dalam dua tahun lalu anak lelakinya berpindah bersama datuk dan neneknya semasa dia terkandas di Singapura.

“Sekolah bermula baru-baru ini jadi dia sudah pulang ke rumah kami untuk belajar hidup bersendirian kerana ibu bapa saya sudah terlalu tua untuk menjaga mereka sepanjang masa,” kata Ho sambil menambah anaknya berusia 16 tahun.

“Setelah semuanya stabil saya akan kembali menetap di Johor Bahru,” tambahnya.

Untuk memastikan dirinya selamat semasa berulang-alik Ho berkata dia akan terus memakai topeng pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

Bagi Ng Say Khai, seorang pekerja penyelenggaraan penyaman udara berkata dia hanya membuat satu perjalanan pulang melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Dalam dua tahun kebelakangan ini Ng berkata dia terlepas peluang melihat anak-anaknya membesar.

“Ketika saya pergi dua tahun lalu dia baru berusia setahun dan sedang belajar merangkak. Sekarang dia boleh berjalan.

“Apabila saya mendengar sempadan kembali dibuka saya sangat gembira. Ini bermakna saya boleh pulang ke rumah untuk bersama keluarga dan meluangkan masa bersama mereka,” katanya.

Ng juga berkata dia tidak akan tergesa-gesa untuk kembali serta-merta sebaliknya akan menunggu selama seminggu untuk melihat keadaan.

“Biasanya pada hari pertama akan ada sedikit gangguan. Jadi saya memutuskan untuk menunggu seminggu,” katanya.

Sementara itu Toh Yng Ni yang bekerja di republik itu sejak 17 tahun lalu dalam sebuah syarikat pengeluaran cip berkata dia akan kembali pada 1 April kerana dia sudah memperoleh tiket sebelum ini melalui VTL.

“Disebabkan waktu bekerja saya mungkin sukar untuk berulang-alik setiap hari. Saya akan terus tinggal di Singapura dan pulang ke rumah semasa cuti umum,” katanya.

Minggu lalu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengeluarkan kenyataan bersama mengumumkan pembukaan semula sempadan darat di antara kedua-dua negara.

Ini akan membolehkan semua pelancong dari kedua-dua negara melakukan perjalanan tanpa kuarantin.

Pada masa sama sempadan antarabangsa juga akan dibuka pada 1 April. – 30 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen