KEMPEN Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli hujung minggu lalu bagi membantu meningkatkan imej parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH), kata pemimpin dan ahli parti.
Mereka berharap inisiatif naib presiden PKR itu bersama pemimpin muda parti mampu mencipta gelombang baharu menarik minat pengundi yang dalam keadaan “kelesuan politik”.
Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik berkata, defisit sokongan pengundi waktu ini antara lain berlaku disebabkan pemimpin gagal memberikan penerangan kepada rakyat berkaitan isu tertentu.
“Bukan kempen PH gagal, masalahnya menteri atau ahli politik tak ambil isu itu dan terangkan apa yang perlu dilakukan untuk selamatkan negara. Rakyat pun sudah putus asa sekarang.
“Nampak pengundi seperti dah berputus asa, mereka tidak fikir benda lain, kecuali apa dia nak makan hari ini.
“Jadi Ayuh Malaysia dibuat untuk tarik balik pengetahuan rakyat berkenaan apa yang berlaku sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight sewaktu ditemui di pelancaran kempen tersebut.
Beliau yakin ia akan berjaya memandangkan PH pernah mempelopori dan menguasai isu di media sosial sehingga mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) dan membentuk kerajaan selepas PRU14.
“Satu (untuk naikkan semula) imej parti. Kita nak tarik balik minat pengundi dan rakyat sebab mereka dah tak suka dengan politik.
“Pada saya memang kempen seperti ini PH dah buat dulu. Menerokai sosial media untuk kempen, kita sudah mempeloporinya sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Seorang pemimpin akar umbi Thiagarajan Raju juga melihat kempen Ayuh Malaysia berupaya menjadi gelombang yang akan membantu PH mengharungi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli jawatankuasa Cabang PKR Tebrau melihat mesej yang digunakan dalam kempen Ayuh Malaysia menggunakan isu yang mudah difahami dan dirasai rakyat dan pengundi.
“Rakyat sudah putus asa dengan apa yang berlaku, dapat dilihat dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN), kita nampak.
Jadi mesej Ayuh Malaysia mudah untuk difahami pengundi, sudah tentu ia akan memberikan impak besar kepada PH dalam PRU15. Ayuh Malaysia juga baik untuk PH,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kempen itu akan membantu Rafizi dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei depan.
“Misi Ayuh Malaysia akan berlaku dan sudah tentu melibatkan Rafizi… Dalam parti, pasti populariti beliau meningkat,” katanya.
Rafizi mengumumumkan akan merebut jawatan timbalan presiden PKR pada 15 Mac lalu selepas lama bercuti dari politik.
Jawatan itu timbalan presiden PKR kosong selepas penyandang Mohamed Azmi Ali dilucut keahlian kerana khianat dan menjatuhkan kerajaan PH.
Rafizi dilantik sebagai naib presiden PKR selepas tewas kepada Azmin dalam pertandingan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan yang menyebabkan perpecahan besar dalam parti pada 2018.

Antara nama besar yang disebut-sebut akan menawar diri bertanding jawatan nombor dua dalam parti ketika pemilihan kali ini Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin dalam satu sidang media di ibu negara semalam turut menyambut baik kempen yang dianjurkan Rafizi itu sebagai usaha kreatif dan baik untuk parti.
“Masih terlalu awal (untuk lihat kesan) tetapi, saya ikuti dalam media dan saya baca objektifnya untuk mendekati pengundi atas pagar.
“Itu inisiatif kreatif dan bagus. Sebagai setiausaha agung parti kami terbuka terima apa juga idea baharu, dan (Ayuh Malaysia) tak jadi masalah kepada parti,” kata Saifuddin.
Rafizi pula sewaktu mengulas melihat kempen Ayuh Malaysia tidak memberikan kelebihan secara langsung kepadanya dalam merebut jawatan itu.
Beliau melihat usaha meraih kembali sokongan pengundi melalui kempen tersebut lebih utama berbanding promosi dirinya bagi jawatan timbalan presiden.
“Tidak (beri kelebihan) saya sebenarnya ketinggalan zaman. Orang habiskan masa bertanding jawatan timbalan presiden tetapi saya habiskan lebih banyak masa dengan pengundi.
“Saya rasa jawatan timbalan presiden itu yang kedua, sebab jika tidak tidak mampu mengembalikan semula sokongan orang ramai, tidak penting sama ada saya menang atau tidak jawatan timbalan presiden.
“Sebab PKR dan PH benar-benar berhadapan dengan keadaan yang teruk,” katanya ketika ditemui di program itu.
Menurutnya, prestasi buruk gabungan PH dilihat dalam dua PRN, di Melaka dan Johor.
“Sekiranya situasi di Johor berterusan dalam pilihan raya umum akan datang kita bakal berhadapan situasi serupa seburuk 2004,” kata Rafizi.
Dalam PRU 2004, PKR hanya menang satu kerusi dan hilang empat kerusi Parlimen manakala rakan Barisan Alternatif (BA) dari PAS hilang 20 daripada 27 kerusi mereka.
DAP pula menang 12 kerusi Parlimen ketika itu.
BN menang besar dan menguasai 198 kerusi Parlimen dalam pilihan raya sulung selepas Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri kelima dari Dr Mahathir Mohamad.
Rafizi pula menjelaskan, kempen Ayuh Malaysia berusaha menarik kembali minat kumpulan pengundi atas pagar untuk keluar mengundi.
Beliau juga menerima sekiranya usaha tersebut turut mendorong ahli parti menyokong beliau meraih jawatan timbalan presiden.
“Apa yang penting antara pemilihan parti dan menarik semula sokongan orang ramai saya harap lebih ramai ahli parti sertai Ayuh Malaysia yang berkempen kepada pengundi atas pagar.
“Kalau dengan itu mereka nak undi saya, saya terima,” kata Rafizi.
Beliau turut menjelaskan, kempen Ayuh Malaysia tidak menggunakan seruan politik sebaliknya menjurus kepada isu yang dekat dan boleh diterima pengundi.
Kempen itu akan mengangkat isu realiti kehidupan dalam usaha menarik minat kelompok terbabit, seperti mana pernah digunakan PH untuk menghadapi PRU14, katanya.
Ayuh Malaysia memberikan tumpuan kepada lima agenda utama, antaranya jaminan keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Turut ditumpukan isu rumah mampu milik dan demokrasi pendidikan. – 30 Mac, 2022.
Komen