PAS beri amaran cubaan tukar agama anak Loh


Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan aqidah anak-anak Loh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2022.

TIADA siapa patut cuba menukar agama Islam tiga anak Loh Siew Hong, kata PAS hari ini.

Ketua penerangan parti Khairil Nizam Khirudin memberi amaran kepada sesiapa yang cuba melakukannya susulan berita Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan pengisytiharan yang bekas suaminya tidak layak secara sah mengislamkan tiga anak mereka.

“PAS pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini,” kata Khairil dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

“Umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan aqidah mereka.”

Beliau tidak menyatakan apa akibat kepada amarannya.

Bagaimanapun, beliau berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika memberikan hak penjagaan tiga beranak kepada Loh, tidak menyentuh soal agama, apatah lagi penukaran agama.

“Keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui.”

Khairil turut menggesa semua ahli politik, ahli akademik, mufti, pendakwah, NGO dan rakyat Malaysia beragama Islam supaya bersatu menjaga akidah anak kembar berusia 14 tahun dan remaja lelaki berusia 10 tahun itu.

Loh baru-baru ini bertemu semula dengan anak-anaknya selepas cuba mencari mereka selepas berpisah dan bercerai dengan bekas suaminya, yang kini menjalani hukuman di penjara.

Beliau mendapati anak-anaknya sudah bertukar agama tanpa persetujuannya dan ditempatkan di rumah kebajikan di Perlis.

Mahkamah baru-baru ini mengekalkan perintah kehakiman sebelum ini yang memberikan hak penjagaan kepadanya. – 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen