AHLI politik mesti mengisytihar dana kempen jika ia mencecah RM10,000 bagi untuk mengelakkan berlaku penyalahgunaan dana, kata Prof Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya hari ini.
Beliau berkata parti politik dari kedua belah pihak takut untuk mengisytihar tetapi mereka perlu lakukannya mengelakkan persepsi buruk orang ramai.
“Minta ahli politik isytihar dana politik mereka, siapa yang terima lebih RM10,000 dan lebih, tolong isytihar,” Gomez berkata pada forum anjuran Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini.
Gomez yang merupakan pakar ekonomi politik berkata tidak ada sebarang usaha dari kedua pihak untuk membuat pembaharuan ke atas undang-undang pembiayaan politik.
“Mereka (ahli politik) tak mendengar, mereka tak mahu. Menakutkan, jika kita tak tahu tentang pembiayaan itu.
“Bagaimana kita tahu yang dasar awam adalah demi kepentingan raakyat dan bukan demi kepentingan pembiaya.”
Beliau turut berkata cadangan Institut Pulau Pinang Wong Chin Huat supaya orang ramai dibenarkan membiaya mana-mana parti politik atau ahli politik perlu diambil serius.
Jelasnya, dengan cara ini ahli politik akan lebih bertanggungjawab terhadap rakyat.
Antara pembaharuan lain, Gomez juga menegaskan bahawa untuk mencegah penyalahgunaan kuasa, ahli politik tidak boleh mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“GLC telah disalahgunakan. Semua ahli politik tidak boleh berada dalam ahli lembaga pengarah syarikat GLC. Biarlah ia diuruskan oleh profesional, bukan ahli politik,” katanya.
Beliau juga berkata perdana menteri tidak boleh lagi memegang peranan sebagai menteri kewangan di masa depan.
“Tiada PM boleh pegang portfolio menteri kewangan. Kedua-dua pihak mesti bersetuju.
“Kita perlu hentikan pengewangan politik. Pembaharuan yang lengkap diperlukan. Institusi dan perundangan,” katanya.
September tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata undang-undang bagi mengawal pembiayaan politik untuk parti politik akan siap pada Pilihan Raya Umum ke-15. – 11 Februari, 2018.
Komen