PUTRAJAYA perlu menetapkan sampai bila MySejahtera akan dipakai untuk mengesan pergerakan rakyat bagi membendung penularan Covid-19 ketika Malaysia sedang beralih ke fasa endemik, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Beliau yang menyifatkan MySejahtera sebagai “mekanisme pengawasan” berkata rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan aplikasi yang mencerobohi kerahsiaan pergerakan dan kehidupan seharian mereka.
“Tentukanlah tempoh masa, sebelum semua ini boleh kita hentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad mengingatkan kerajaan supaya telus dengan rakyat, ketika isu pemilikan aplikasi itu dan keselamatan data peribadi yang terkandung dalamnya jadi titik kontroversi sejak hujung minggu lalu.
“Ketelusan dalam semua perkara ini adalah sangat penting, dalam mengukuhkan keyakinan rakyat tentang pelan Kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya,” katanya.
MySejahtera digunakan sejak April 2020 untuk pengesanan kontak rapat jangkitan Covid-19 dan kemudian dipakai untuk pengurusan janji temu vaksinasi. Aplikasi itu merekodkan pergerakan serta maklumat kesihatan peribadi seseorang.
Laporan prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan minggu lalu mendedahkan MySejahtera “dijual” kepada sebuah syarikat yang baru ditubuhkan tidak sampai enam bulan selepas aplikasi itu mula diwajibkan kepada rakyat.
Ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menjelaskan penjualan itu, yang turut mencetuskan persoalan tentang isu ketelusan dan keselamatan melibatkan data peribadi rakyat.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak menjual aplikasi itu dan memberi jaminan data peribadi rakyat yang terkandung dalamnya selamat.
Portal berita kesihatan CodeBlue kemudian melaporkan syarikat pembangun aplikasi berkenaan Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini dikenali KPISoft Malaysia Sdn Bhd) menjual harta intelek dan lesen perisian My Sejahtera kepada MySJ Sdn Bhd pada harga RM338.6 juta.
Khairy menjelaskan kerajaan masih berunding dengan MySJ Sdn Bhd berhubung terma perjanjian lesen MySejahtera dan menegaskan harganya “jauh lebih rendah” daripada yang dipetik laporan itu.
Menurut Mohamad, laporan pelantikan syarikat swasta sebagai pengurus MySejahtera “sesuatu yang membimbangkan”.
Kerajaan juga perlu menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul, katanya biarpun menteri sudah memberi penjelasan.
“Rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.
“Apalagi kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan tren kehidupan puluhan juta rakyat Malaysia,” katanya.
Mohamad berpandangan apa saja usaha untuk menggunakan aplikasi itu bagi tujuan lain selain pengawalan Covid-19 perlu kepada semak dan imbang untuk melindungi maklumat peribadi rakyat.
“Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemik memerlukan Kerajaan melakukan libat urus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutama rakyat Malaysia,” katanya. – 29 Mac, 2022.
Komen