13,336 kes jangkitan baharu Covid-19 semalam  


Alfian Z.M. Tahir

Kes baharu yang direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 kepada 4.15 juta.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mac, 2022.

MALAYSIA merekodkan 13,336 kes baharu Covid-19 semalam, menurun berbanding 13,944 kes yang dicatatkan pada 8 Februari, lapor Kementerian Kesihatan hari ini.

Kes baharu semalam menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 kepada 4.15 juta.

Awal bulan lalu, pihak berkuasa kesihatan berkata Malaysia berada dalam gelombang Omicron sepenuhnya, yang menyumbang kepada jumlah jangkitan harian yang tinggi dalam beberapa minggu kebelakangan ini iaitu lebih daripada atau sekitar 20,000.

Sementara itu, 54 kematian Covid-19 dilaporkan semalam, di mana 16 daripadanya adalah kes kematian luar hospital.

54 kematian yang dilaporkan telah dimaklumkan kepada kementerian oleh pusat perubatan dalam tempoh 72 jam, menurut protokol pelaporan semasa.

Ini bermakna 54 kematian berlaku dalam tempoh tiga hari lepas.

Angka kematian kini ialah 34,842, yang mana 7,348 daripadanya dikategorikan sebagai kematian luar hospital.

Daripada jangkitan baharu yang dilaporkan semalam, 6,509 kes direkodkan di Selangor.

Negeri dan wilayah lain yang turut melaporkan kes baharu ialah Kuala Lumpur (1,317), Johor (856), Kedah (779), Pulau Pinang (640), Negeri Sembilan (488), Perak (482), Sarawak (470), Terengganu (418), Pahang (413), Kelantan (328), Melaka (309), Sabah (194), Perlis (52), Putrajaya (49) dan Labuan (32).

Bagi kes kematian, Selangor merekodkan 13 kes manakala Perak melaporkan sembilan.

Ini diikuti oleh Kuala Lumpur (8), Kedah dan Negeri Sembilan (masing-masing 5), Johor, Sarawak dan Terengganu (masing-masing 3), Kelantan dan Melaka (masing-masing 2), dan Pulau Pinang (1).

Tiada kematian dilaporkan di Pahang, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan.

Kadar kematian adalah 0.3% dan kadar kematian kumulatif adalah pada 0.8%.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 13,225 atau 99.17 peratus daripada 13,336 kes baharu semalam adalah dalam kategori kurang teruk iaitu 1 dan 2.

Beliau berkata hanya 111 (0.83%) daripada jumlah keseluruhan kes berada dalam kategori serius iaitu 3, 4 dan 5.

“Daripada 111 kes serius, 29 pesakit sama ada belum divaksin atau tidak divaksin sepenuhnya.

“Empat puluh tiga daripada mereka telah menerima dua dos vaksinasi tetapi tidak menerima dos penggalak, manakala baki 39 daripada mereka mengambil suntikan dos penggalak mereka.

“Seramai 64 daripadanya berumur 60 tahun ke atas, manakala 60 pesakit mempunyai komorbiditi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 29 Mac, 2022.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen