Mendekati masyarakat Ahmadiah di Kampung Nakhoda


Faisal Tehrani

SALAH satu kajian akademik saya ialah mengenai kebebasan beragama di Malaysia yang didanai oleh American Bar Association. Kerangka kajian ini adalah di bawah disiplin hak asasi manusia dan menerapkan Pelan Tindakan Rabat untuk mengenalpasti seruan atau ucapan kebencian terhadap kumpulan minoriti.

Kajian ini juga menjurus kepada dialog sebagai satu kaedah memahami ‘the others’. Niat sebenar kajian ini, adalah untuk membuka jalan dialog.

Dalam hal ini, saya berpegang kepada tulisan Azizan Baharuddin (bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya) dalam sebuah artikel ilmiah beliau berjudul ‘Dialog Peradaban: Perspektif Global dan Lokal’.

Beliau menyatakan ‘dialog adalah satu bicara dengan pihak yang berfikiran berbeza daripada kita’. Apakah tujuan dialog? Azizan menambah, ‘untuk kita belajar dari pihak atau orang lain itu suatu cara berfikir yang berlainan dan baru’, selain untuk ‘melihat alam dan kehidupan serta maknanya’.

Azizan menggariskan tujuh tunjang dialog untuk mendekati ‘the others’ ini. Pertama, mereka yang berdialog mestilah tahu dan sedar tujuan dialog untuk belajar dan memahami realiti sebenar. Kedua, dialog wujud untuk intra dan antara peradaban dan kepercayaan.

Ini bermakna dialog juga perlu dipugar antara kumpulan lain mazhab, dan bukan sahaja antara agama atau tamadun. Misalnya antara kumpulan Buddha sedia ada dengan Falun Gong, atau antara kumpulan Sunni dan Syiah atau Ahmadi.

Ketiga, mereka yang berdialog harus juga jujur, ikhlas dan sedar mereka itu setara sebagai manusia. Justeru tidak ada pendialog palsu yang datang dengan ingatan bahawa mereka lebih ‘supreme’ dari yang lain.

Keempat, di permulaan dialog, semua dibenarkan mendefinisikan pendirian masing-masing. Kelima, yang amat penting ialah, dialog hanya boleh berjalan jika hak dan status sudah setara.

Keenam, dialog hanya dapat terjadi jika ada perasaan mempercayai. Prasangka tidak boleh di bawa ke meja dialog, untuk mencapai satu dialog yang matang.

Ketujuh, yang maha penting ialah, setiap pendialog bersifat ‘empati’ dengan pihak yang didialognya.

Justeru, kajian saya ini memberi tumpuan kepada pelbagai agama dan kepercayaan berbeza dari agama Islam (dan mazhab arus perdana). Dalam hal ini saya ikut menyorot kumpulan Ahmadiah, atau digelar Qadiani oleh sesetengah orang.

Ahmadiah adalah sebuah ajaran yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di Qadian, India pada tahun 1889. Perkataan “Ahmadiah” itu sendiri merupakan sandaran kepada nama pengasas ajaran ini manakala “Qadiani” pula diambil sempena nama tempat lahirnya Mirza yang terletak di daerah Gurdaspur, India. Oleh itu, ajaran ini sering dikenali sebagai ajaran Qadiani Ahmadiah.

Namun demikian, di Malaysia, ajaran ini tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam. Ini kerana inti pati utama dalam ajaran ini adalah mempercayai Mirza Ghulam Ahmad sebagai seorang nabi.

Ajaran Ahmadiah ini dipercayai masuk ke Tanah Melayu pada tahun 1906. Pada tahun 1975, Majlis Fatwa Selangor telah mengeluarkan fatwa mengisytiharkan pengikut gerakan ini sebagai bukan Islam. Fatwa tersebut menyeru pengikut Ahmadiah untuk bertaubat.

Sehubungan dengan itu, sebahagian besar pengikut Ahmadiah di Selangor, yang sebahagian besarnya menghuni Kampung Nakhoda, berdepan dengan pelbagai kesulitan ekoran dari fatwa ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, pihak pejabat daerah Gombak dan Dewan Perbandaran Selayang telah melakukan pemeriksaan terhadap penyalahgunaan tanah secara haram dan pembinaan sebuah masjid yang dimiliki oleh masyarakat Ahmadiah ini.

Menurut Hasan Ali iaitu Pengerusi Jawatankuasa Hal Islam, Adat Istiadat Melayu, Prasarana dan Kemudahan Asas Negeri ketika itu, masjid tersebut telah dibina di atas tanah kediaman. Perkara ini merupakan salah satu pelanggaran di sisi undang-undang.

Seterusnya, pada tahun 2009 Majlis Agama Islam Selangor telah mengeluarkan larangan berkuat kuasa serta-merta terhadap pengikut Ahmadiah yang melakukan solat Jumaat di masjid. Sekiranya pengikut ajaran Ahmadiah enggan mematuhi peraturan tersebut maka tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

Manakala pada tahun 2014, Jabatan Agama Islam Selangor telah menahan seramai 38 orang pengikut Ahmadiyah dalam serbuan terhadap markas jemaah terbabit di mana kemudiannya mereka diminta menghadirkan diri ke mahkamah Syariah.

Rentetan daripada peristiwa tersebut pada tahun 2015 pengikut Ahmadiah cuba mendapatkan deklarasi mahkamah bahawa pihak berkuasa agama tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kumpulan mereka memandangkan mereka bukan orang Islam menurut beberapa fatwa yang dikeluarkan sebelum ini.

Semakan kehakiman yang difailkan oleh kumpulan Ahmadiah diterima dan kes mereka dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Pada tahun 2018 Hakim Vazeer Alam Mydin telah membuat keputusan yang menyebelahi pengikut Ahmadiah dalam kes yang difailkan terhadap Jabatan Agama Islam Selangor.

Dalam perbicaraan itu hakim Mahkamah Tinggi  memutuskan bahawa pengikut Ahmadiah boleh meneruskan aktiviti mereka di Selangor tanpa diganggu pihak berkuasa agama. Ini memandangkan pengikut Ahmadiah tidak tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri kerana kumpulan ini telah difatwakan sebagai kumpulan ajaran sesat sebelum ini.

Justeru, Jabatan Agama Islam Selangor tidak boleh menyiasat atau mendakwa mana-mana pengikut Ahmadiah di bawah kesalahan syariah kerana mereka tidak mengiktiraf pengikut ajaran ini sebagai penganut agama Islam. Kes ini bagaimanapun berlarutan ke Mahkamah Rayuan, dan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

Sebetulnya apabila saya mendekati kumpukan minoriti, saya tidak pernah bertujuan menghakimi salah benarnya ajaran mereka, termasuk dalam hal ini Ahmadiah. Akan tetapi seperti digariskan lebih awal, berhasrat dan berusaha untuk memahami masyarakat ini.

Dalam dialog dengan wakil masyarakat Ahmadiah terdapat banyak masalah dan stres yang dialami ekoran pemomokan yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama.

Sebagai contoh, anak-anak dari masyarakat Ahmadiah ini berdepan dengan diskriminasi yang hebat dari para guru di sekolah kebangsaan. Masyarakat Ahmadiah yang sebahagian besarnya berniaga makanan juga berdepan dengan pemulauan masyarakat.

Meskipun tiada kekerasan yang jelas setakat ini terhadap masyarakat Ahmadiah di Kampung Nakhoda, memandangkan mereka adalah peneroka di kampung tersebut, tidak mustahil mereka boleh berdepan dengan kekerasan dan keganasan jika pendekatan hak asasi manusia dan penerapan dialog tidak diterapkan. – 29 Mac, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen