MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan memberi komen berhubung kritikan presiden FAM kerana tidak menghadiri perlawanan akhir bola sepak piala FA Sabtu lalu.
“Saya dah jawab soalan itu tadi,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Khairy juga enggan melayan pertanyaan wartawan yang bertanya adakah benar dia menghadiri latihan askar wataniah seperti mana didakwa Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menteri itu hadir dalam majlis perasmian stadium Velodrom Nasional Malaysia yang baharu di Nilai, Negeri Sembilan.
Terdahulu dalam acara berasingan di Parlimen beliau enggan mengulas lanjut dengan mendakwa tidak ada guna untuk memberi reaksi terhadap kritikan itu.
Khairy dikritik hebat TMJ kerana tidak menghadiri perlawanan akhir bola sepak antara Kedah dan Pahang minggu lalu.
Presiden itu menerusi akaun Facebook berkata sebagai menteri sukan, Khairy sepatutnya hadir dalam acara penting tersebut dan bukannya menghadiri latihan askar wataniah.
Malah TMJ juga membidas Khairy yang didakwa memilih untuk hadir dalam acara tertentu yang boleh menaikkan namanya.– 25 Mei 2017.
Komen