Pemansuhan Sosma baik untuk imej polis, kata ahli kriminologi


Alfian Z.M. Tahir

Pakar kriminologi Prof Dr P Sundramoorthy berkata Sosma adalah satu undang-undang yang mencemarkan imej polis dan sudah tiba masanya untuk memperbaiki imej itu.– Gambar MCPF, 29 Mac, 2022

AHLI Parlimen memberi bantuan besar kepada polis dengan tidak melanjutkan kesahihan peruntukan penahanan di bawah undang-undang pencegahan Sosma, kata pakar kriminologi terkenal Prof Dr P Sundramoorthy.

Beliau berkata dengan menghapuskan 28 hari penahanan terhadap suspek, ahli Parlimen membina semula imej positif pasukan itu yang mempunyai persepsi negatif selama ini.

Menurutnya peruntukan penahanan yang kini luput di bawah subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak lagi relevan.

“Kita perlu mengangkat imej polis yang dicemari oleh banyak perkara negatif.

“Sosma adalah satu undang-undang yang mencemarkan imej polis dan sudah tiba masanya untuk memperbaiki imej itu,” kata ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada The Malaysian Insight.

“Memiliki undang-undang pencegahan sedemikian bukanlah membawa pasukan polis ke hadapan tetapi kami membawa mereka ke belakang. Dalam banyak kes seorang suspek tidak pun didakwa selepas penahannya jadi ini mengundang banyak kritikan terhadap polis itu sendiri,” tambahnya.

Sundramoorthy berkata polis masih boleh menyiasat kes walaupun tanpa penahanan selama 28 hari seperti yang dibenarkan di bawah Sosma.

“Jika anda bertanya kepada saya 20 atau 30 tahun lalu saya mungkin mengatakan kita memerlukan semak dan imbang serta mungkin kita memerlukan peruntikan itu tetapi sekarang saya katakan kita pastinya tidak memerlukannya. Dalam kepolisan zaman moden ia sudah lama tertangguh.

“Mereka sebenarnya boleh meminda Kanun Tatacara Jenayah berhubung isu keselamatan negara dan sebenarnya keganasan adalah satu tindakan jenayah di bawah CPC.

“Kita mempunyai ramai pegawai polis terpelajar dalam PDRM. Ramai yang ada PhD pun. Apa yang penting kita menugaskan pegawai polis yang betul untuk kes yang betul,” katanya.

Rabu lalu ahli Parlimen pembangkang mengunding menentang usul untuk melanjutkan kesahihan subseksyen 4(5) Sosma yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari di bawah Sosma.

Seramai 86 ahli Parlimen mengundi menentang usul terhadap 85 untuk usul itu. Seramai 50 ahli Parlimen tidak hadir.

Subseksyen 4(5) Sosma mesti disemak setiap lima tahun dan akan ditamatkan pada Julai melainkan kedua-dua Dewan bersetuju untuk melanjutkan klausa tersebut.

Peruntukan itu mula dikuatkuasakan pada 31 Julai 2012 dan diperbaharui buat kali pertama pada 2017.

Kes Sosma adalah rumit

Sementara itu penganalisis jenayah bebas Shahul Hamid Abdul Aziz berkata kes membabitkan Sosma jauh lebih rumit berbanding kes jenayah biasa.

Justeru katanya penyiasat memerlukan lebih masa untuk menyediakan kes sempurna terhadap suspek.

“Kes Sosma kadangkala tidak mudah dan rumit. Jadi 28 hari itu sangat diperkukan polis,” katanya.

Shahul berkata di bawah CPC mahkamah boleh memberi tempoh maksimum 14 hari untuk suspek ditahan untuk disoal siasat.

“Tetapi dalam kes tertentu mereka akan mendapat mungkin tujuh hari atau kurang. Jadi apabila kes itu dibawa ke mahkamah sukar untuk membuktikannya kepada hakim.

“Saya fikir adalah menjadi tanggungjawab semua ahli Parlimen untuk mengutamakan keselamatan negara daripada cuba menjadi populis,” katanya. – 29 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen