Raja Kecil Bongsu Perak mangkat


Raja Kecil Bongsu Perak Raja Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga pada kira-kira pukul 1.40 petang tadi. – Gambar Facebook, 28 Mac, 2022.

RAJA Kecil Bongsu Perak Raja Izuddin Chulan Raja Zainal Azman Shah, mangkat pada usia 71 tahun akibat sakit tua dan masalah jantung di kediamannya di sebuah resort di Bandar Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak Ayob Hashim berkata kemangkatannya dimaklumkan, selepas menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarga pada kira-kira pukul 1.40 petang tadi.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Ubudiah Kuala Kangsar pada kira-kira pukul 8 pagi esok untuk disembahyangkan dan dibawa ke Makam Diraja Kuala Kangsar,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya Almarhum sebelum ini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, atas masalah sakit jantung yang dihidapi.

Raja Izuddin Chulan dianugerahi gelaran Raja Kecil Bongsu Perak 27 Ogos 2016, dan diisyitihar secara rasmi dengan gelaran itu pada 1 Julai tahun sama.

Majlis angkat sumpah gelaran telah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh ketika itu Samsudin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Abdul Puhat Mat Nayan. – Bernama, 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen