Taliban larang wanita naiki pesawat tanpa mahram


Taliban mengharamkan perjalanan antara bandar melalui darat kepada wanita tanpa mahram dan terkini bagi perjalanan udara. – Gambar EPA, 28 Mac, 2022.

TALIBAN mengarahkan syarikat penerbangan di Afghanistan melarang wanita daripada menaiki penerbangan melainkan ditemani mahram lelaki, menurut pegawai penerbangan memberitahu AFP.

Sekatan terbaharu terhadap wanita selepas penutupan semua sekolah menengah perempuan pada Rabu hanya beberapa jam selepas ia dibenarkan dibuka semula buat kali pertama sejak kumpulan Islam itu merampas kuasa pada Ogos.

Dua pegawai dari syarikat penerbangan Ariana Afghan dan Kam Air berkata pada Ahad yang Taliban mengarahkan mereka melarang wanita berlepas jika mereka bersendirian.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat pada Khamis antara wakil Taliban, dua syarikat penerbangan dan pihak berkuasa imigresen lapangan terbang, kata pegawai itu kepada AFP, meminta nama tidak disiarkan.

Sejak Taliban kembali berkuasa, banyak sekatan terhadap kebebasan wanita diperkenalkan semula—sering dilaksanakan secara setempat atas kehendak pegawai wilayah dari Kementerian Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat.

Kementerian itu berkata ia tidak mengeluarkan sebarang arahan melarang wanita menaiki penerbangan bersendirian.

Bagaimanapun, surat dikeluarkan oleh pegawai kanan Ariana Afghan kepada kakitangan syarikat penerbangan selepas pertemuan dengan Taliban, yang salinannya diperoleh AFP, mengesahkan langkah baharu itu.

“Tiada wanita dibenarkan terbang dalam mana-mana penerbangan domestik atau antarabangsa tanpa mahram lelaki,” kata surat itu.

Dua ejen pelancongan yang dihubungi AFP juga mengesahkan mereka berhenti mengeluarkan tiket kepada pengembara wanita solo.

“Sesetengah wanita yang dalam perjalanan tanpa mahram lelaki tidak dibenarkan menaiki penerbangan Kam Air dari Kabul ke Islamabad pada Jumaat,” seorang penumpang yang berada dalam penerbangan itu memberitahu AFP.

Seorang wanita Afghanistan dengan pasport Amerika Syarikat (AS) juga tidak dibenarkan menaiki penerbangan ke Dubai pada Jumaat, kata sumber lain.

Taliban mengharamkan perjalanan jalan raya antara bandar kepada wanita tanpa mahram, tetapi sehingga kini mereka bebas menaiki kapal terbang.

Taliban menjanjikan versi lebih lembut daripada pemerintahan Islam keras yang menjadi ciri tempoh pertama mereka berkuasa dari 1996 hingga 2001.

Puluhan ribu kanak-kanak perempuan berpusu-pusu kembali ke kelas pada Rabu selepas sekolah dibuka semula, tetapi pegawai mengarahkan mereka pulang beberapa jam selepas itu, mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Pihak berkuasa masih tidak memberikan sebab yang jelas bagi tindakan itu. – AFP, 28 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen