PERGELUTAN dihadapi DAP ketika ini berpunca dari kesan akibat bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, kata P Ramasamy.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu terima hakikat yang ianya adalah satu kesilapan apabila mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 2018.
“22 bulan pentadbiran Dr Mahathir di bawah PH adalah satu tempoh yang mahal bukan sahaja untuk PKR, Amanah tetapi juga untuk DAP.
“DAP tidak pernah sama selepas bereksperimen dengan Dr Mahathir. Ia telah menjejaskan prestasi masa hadapan parti.
“Inilah sebab mengapa saya berhujah yang PH amnya dan DAP khususnya mesti mengusir ‘hantu’ Dr Mahathir untuk tujuan pemulihan politik,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Dr Mahathir tidak akan dapat memberikan kepimpinan kepada parti baharunya Pejuang sedangkan “beliaulah punca kekacauan negara hari ini”.
Ramasamy berkata ahli Parlimen Langkawi itu bertanggungjawab sepenuhnya untuk membangkitkan perkauman di negara ini sehingga sukar untuk pulihkan perpecahan kaum dan agama yang mendalam.
“Dr Mahathir mungkin ketua Pejuang, tetapi saya tidak nampak masa depan untuk parti dan pengikut setianya,” katanya.
Kerajaan PH tumbang pada Februari 2020 berikutan Langkah Sheraton yang menyaksikan Bersatu menarik diri daripada pakatan itu.
Susulan itu Dr Mahathir meninggalkan Bersatu dan menubuhkan Pejuang bersama penyokongnya, bertujuan untuk menjadi parti baharu berasaskan Melayu.
Sejak itu Pejuang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri berikut.
PH juga telah kalah teruk dalam beberapa pilihan raya negeri, yang terbaharu di Johor awal bulan ini. – 28 Mac, 2022.
Komen