MALAYSIA mencatatkan 16,863 jangkitan baharu Covid-18 semalam, yang terendah sejak hampir dua bulan, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Kali terakhir Malaysia melaporkan lebih sedikit kes berbanding semalam ialah pada 8 Februari dengan 13,944 kes.
Pada awal Februari pihak berkuasa kesihatan berkata Malaysia sepenuhnya berhadapan dengan ancaman gelombang Omicron, yang menyumbang kes harian tinggi untuk beberapa minggu dengan sekitar 20,000 kes setiap hari.
Kes baharu semalam menjadikan kumulatif jangkitan Covid-19 kepada 4.13 juta.
Terdapat juga 37 kematian Covid-19 dilaporkan semalam, meningkat berbanding dua hari sebelumnya di mana 27 dan 22 kematian masing-masing dilaporkan.
Daripada jumlah kematian itu, enam disahkan meninggal dunia sebelum tiba di hospital (DOA).
KKM sebelum ini berkata tidak semua kematian harian berlaku dalam satu hari tetapi ianya dilaporkan oleh kemudahan perubatan kepada kementerian dalam tempoh lebih kurang 72 jam.
Ini bermakna 37 kematian berlaku dalam tempoh tiga hari lepas.

Jumlah kematian kini sebanyak 34,751, di mana 7,321 daripadanya merupakan kes DOA.
Daripada jangkitan baharu yang dilaporkan semalam, lebih separuh direkodkan di Selangor.
Negeri yang paling ramai penduduk itu mencatatkan 9,273 atau 55 peratus daripada kes semalam.
Negeri lain yang turut melaporkan kes baharu ialah Kuala Lumpur (1,395), Pulau Pinang (990), Perak (836), Johor (764), Kedah (652), Sarawak (631), Negeri Sembilan (556), Melaka (403), Pahang (383), Terengganu (327), Kelantan (295), Sabah (245), Labuan (38), Putrajaya (38) dan Perlis (37).
Sementara itu, bagi kes kematian, Johor melaporkan 12 kematian berkaitan koronavirus, manakala Kedah melaporkan enam.
Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing mencatatkan empat kematian, Pulau Pinang (tiga), Sarawak (dua), Perak dan Sabah (masing-masing satu).
Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor masing-masing melaporkan satu kes DOA.
Kadar kematian pada kadar 0.3 peratus dan kadar kematian terkumpul pada 0.8 peratus. – 28 Mac, 2022.
Komen