Tangguh CIQ Kalabakan rugikan ekonomi Sabah, kata Bung Moktar


Bung Moktar Radin berkata, sudah lama Sabah ketinggalan dari segi ekonomi berbanding Semenanjung. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

KEPUTUSAN menangguhkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bernilai RM600 juta di Serudong, Kalabakan dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah, berikutan Kalimantan Timur akan dibangunkan sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin, berkata Sabah terutama kawasan pantai timurnya bakal mendapat tempias ekonominya, namun bagi meraih faedah ekonomi itu kemudahan asas seperti CIQ dan Lebuh Raya Trans-Borneo menghubungkan Sabah-Kalimantan perlu disediakan.

Sehubungan itu beliau memohon kerajaan Persekutuan untuk menarik balik penangguhan itu kerana CIQ Kalabakan dilihat akan menjadi antara pintu masuk utama Sabah dan Kalimantan Utara seterusnya memberikan limpahan ekonomi terutama kepada penduduk setempat.

“Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan dalam sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak, apabila ada projek yang baik diumumkan, kerajaan pula menangguhkan atas alasan tiada peruntukan.

“Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu lonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan… ini (penangguhan) amat mengejutkan lebih-lebih lagi projek berkenaan sudah pun bermula dan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Bung Moktar berkata, sekiranya keputusan penangguhan itu diteruskan maka Sabah dilihat akan terus ketinggalan terutama dari segi ekonomi meskipun peluang untuk memajukan ekonomi itu sudah terbuka di depan mata.

Pada Rabu, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof ketika menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen, dilaporkan berkata, CIQ Kalabakan ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan. – Bernama, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen