RUU antilompat parti perlu diteliti mendalam, kata Takiyuddin


Takiyuddin Hassan berkata, undang-undang sama juga perlu dilaksanakan di peringkat negeri bagi memastikan ia berkuat kuasa terhadap Adun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

RANG Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu diteliti secara mendalam terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa akan datang.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata ia kerana istilah ‘lompat parti’ itu sendiri kurang jelas selain terdapat beberapa perkara lain yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut.

“Persoalannya adakah ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas dianggap sebagai ahli parti? Contohnya kalau dia nak masuk parti lain, adakah itu lompat parti?” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Keluarga Kota Bharu di Kelantan hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, undang-undang sama juga perlu dilaksanakan di peringkat negeri bagi memastikan ia berkuat kuasa terhadap Adun.

Pada hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu dewan pembentangan RUU Anti Lompat Parti akan diadakan dalam sidang khas Parlimen 11 April depan.

Wan Junaidi berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang akan melanjutkan persidangan khas itu sekiranya tempoh sehari bagi membincangkan rang undang-undang berkenaan tidak mencukupi. – Bernama, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen