Air bah dalam DAP


Zulfadzli Halim

SEKALI air bah, sekali pantai berubah – begitu mungkin yang difikir rakyat umum setelah DAP melalui kongresnya baru-baru ini membuat perubahan besar menggantikan Setiausaha Agung Lim Guan Eng dengan Anthony Loke selain memilih dua orang muda Melayu, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan sebagai ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Untuk yang tidak fasih dengan struktur organisasi DAP, setiausaha agung mempunyai kuasa besar dalam parti sementara Jawatankuasa Tertinggi Pusat seperti majlis syura yang menentukan dasar dan pendirian parti.

Perubahan dalam DAP ini bukan sesuatu yang dilakukan secara semberono semata-mata bagi memikat orang Melayu. Untuk memahami gelombang ini, kita perlu lihat proses yang memakan masa beberapa tahun, termasuk apa yang terjadi di pilihan raya negeri Johor yang lepas.

Siapa Young Syefura dan Syahredzan ini dan mengapa pelantikan ini bakal mengubah percaturan politik negara?

Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara melalui proses latihan politik yang keras dalam DAP. Bermula sebagai penyelaras Projek Impian Kelantan pada 2015, Rara berkampung lebih enam bulan di sana dengan pelbagai projek seperti menyediakan makanan kepada mangsa banjir, mengurus pasukan kesihatan dan membina semula rumah-rumah yang musnah dan usang.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi ahli majlis di Dusun Tua sebelum diamanahkan bertanding di DUN Ketari, kerusi kelabu untuk DAP dan menang pada pilihan raya umum 2018. Pada pemilihan parti yang baru lalu, beliau menang undi perwakilan DAP untuk menjadi Timbalan Ketua Pemuda DAP Kebangsaan dan Jawatankuasa Tertinggi Pusat.

Seorang lagi pemuda Melayu yang dilantik ialah Syahredzan Johan, seorang peguam dan aktivis undang-undang. Beliau pada mulanya terlibat secara terus dalam kempen MyConsti yang dilancarkan seawal 2009, program pendidikan untuk merakyatkan Perlembagaan Persekutuan kepada khalayak ramai yang selama ini hanya dibincangkan secara eksklusif oleh segelintir kecil masyarakat.

Beliau sebagai peguam tersohor juga banyak menguruskan kes-kes yang melibatkan kepentingan awam dan mewakili rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang yang ditindas undang-undang zalim seperti kes yang melibatkan Akta Hasutan dan SOSMA.

Syahredzan kemudiannya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, pemimpin senior yang sangat dihormati rakan dan lawan. Tulisan-tulisan, malah ciapan beliau yang mengulas tentang undang-undang sering menjadi perhatian media.

Inilah kualiti pemimpin-pemimpin muda Melayu yang dilantik masuk sebagai Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP. Bukan mat angguk yang dikutip tepi lorong.

Ini bukan lantikan untuk penuhi kuota Melayu atau membuang imej DAP parti Cina, sebaliknya melalui proses yang cukup teruji – hasilnya dua pemimpin muda Malaysia yang bakal menggegarkan negara.

Proses perubahan DAP ini sangat menarik untuk ditelusuri, misalnya bagaimana mereka melancarkan projek Tanjung di Pulau Pinang, ditimpa badai Operasi Lalang, kemudian episod angkat sumpah Menteri Besar Perak 2008, dan sehingga kini, DAP sebagai parti yang mempunyai kerusi tertinggi dalam Dewan Rakyat.

Tidak hairan untuk sebuah parti politik yang kini berusia 56 tahun bersifat lebih bijaksana setelah mengalami pelbagai cabaran dan ujian.

Jangan terlepas juga sosok Marina Ibrahim di pilihan raya negeri Johor yang menjadi perhatian setelah calon Melayu ini diletakkan di Skudai, kerusi tradisi DAP dengan majoriti pengundi berbangsa Cina.

Marina yang sangat aktif sebelum itu di Layang-layang telah dihantar ke tempat baharu yang lebih mencabar dan menang. Mungkinkah petanda tahap penerimaan pengundi tegar DAP kini lebih terbuka merentas bangsa?

Wajah cauvinis dan komunis yang menjadi hantu menakutkan kaum Melayu selama ini semakin lama hilang diganti imej sebuah parti yang cemerlang dari segi pentadbiran, prestasi dan ketelusan. Inilah perubahan DAP, dari sebuah parti yang dilihat mempertahankan hak orang Cina, kini menjadi parti yang merangkul semua bangsa.

Kehadiran Setiausaha Agung DAP yang baru juga bakal memberi nafas segar dalam perencanaan imej parti yang membawa kelainan. Berbeza dengan ketangkasan dan sifat garang Lim Guan Eng, Anthony Loke dilihat lebih tenang dan lebih mesra.

Sebenarnya jika kita teliti, parti yang digelar parti Cina ini memberi undi terbanyak kepada Gobind Singh Deo, ahli Parlimen Puchong dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat. Ini satu lagi tanda peralihan telah selesai dalam menjadikan DAP parti untuk rakyat Malaysia.

Kombinasi Anthony Loke, Rara, Syahredzan dan barisan kepimpinan lain pastinya bakal membuka lembaran baru dalam perjuangan yang bertemakan demokratik, adil dan peduli.

Parti politik lain bagaimana agaknya? Masih berlagu irama lama? – 28 Mac, 2022.

* Zulfadzli Halim seorang jurutera sebelum wabak Covid-19. Kini berkicau di Twitter menggunakan nama @bumilangit kerana tak cukup kacak untuk TikTok.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen