PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Doha hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Qatar.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada jam 3 petang waktu tempatan.
Ketibaan beliau di Terminal Diraja disambut menteri pengiring iaitu Menteri Perbandaran Qatar Abdullah Abdulaziz Turki Al-Subaie, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan sebelum memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi pengawal istiadat Amiri serta menaiki kenderaan khas.
Esok, Perdana Menteri dijadual melawat ladang Baladna, antara ladang ternakan lembu terbesar di rantau itu yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha, bagi menyaksikan pertukaran surat hasrat (LOI) antara PR1MA dan Lembaga Pelaburan Qatar selain menghadiri sesi libat urus dengan komuniti perniagaan serta Keluarga Malaysia di Doha.
Pada Selasa, Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat ke atas Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Amiri Diwan.
Memperkukuh kerjasama Malaysia-Qatar yang terjalin sejak sekian lama menjadi antara agenda utama dan kedua-dua pemimpin dijangka mencarta jalan ke arah kolaborasi ekonomi serta usaha pemulihan pascapandemik selain bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Ia lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia pada 21 Ogos lalu. – Bernama, 27 Mac, 2022.
Komen