Perjanjian kerjasama trilateral disemak semula, kata menteri


Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, ini kali pertama ketiga-tiga menteri pertahanan TCA bertemu secara rasmi sejak September 2018 di Manila. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

PERJANJIAN Kerjasama Trilateral (TCA) akan disemak semula melalui mesyuarat peringkat menteri dengan Filipina dan Indonesia, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Indonesia Prabowo Subianto dan Filipina Delfin N Lorenzana sempena pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 yang akan bermula esok.

“Ini kali pertama ketiga-tiga Menteri Pertahanan TCA akan bertemu secara rasmi sejak September 2018 di Manila dan akan menjadi saluran penting untuk berkongsi kebimbangan keselamatan di kawasan maritim bersama antara negara kita untuk ditangani di peringkat menteri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan persiapan akhir pameran itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.

TCA diwujudkan untuk menangani ancaman keselamatan maritim di perairan ketiga-tiga negara.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain.

Hishammuddin berkata, mesyuarat itu juga akan membabitkan Hamzah dan rakan sejawatnya dari kedua-dua negara yang akan diadakan di luar acara utama, esok.

Mengenai pameran DSA dan NATSEC Asia 2022, Hishammuddin berkata, acara itu akan menjadi isyarat Malaysia sudah bersedia dan terbuka untuk perniagaan namun, beliau mengakui bukan mudah untuk menganjur acara sedemikian semasa pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun persiapan sudah selesai dan kami teruja menantikan esok. Selepas berjaya dilangsungkan selama lebih tiga dekad sejak 1988, penganjuran semula DSA dan NATSEC yang ditunggu-tunggu kali ini akan menjadi acara antarabangsa pertama dan terbesar dihoskan oleh Malaysia ketika kita memasuki peralihan ke fasa endemik bermula 1 April,” katanya.

DSA dan NATSEC Asia 2022 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan sahaja. – Bernama, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen