Sabah, Sarawak raih manfaat limpahan ekonomi ibu negara baharu Indonesia, kata menteri


Antara lakaran artis memaparkan bentuk bangunan di Nusantara, yang akan menjadi ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur. – Gambar Facebook, 27 Mac, 2022.

SABAH dan Sarawak akan mendapat manfaat daripada keputusan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur, yang dijangka bermula pada suku pertama 2024.

Ia dinyatakan dalam taklimat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jakarta (Kadin) pada sesi meja bulat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed di Jakarta.

“Pemindahan ibu negara Indonesia dijangka memberi limpahan ekonomi dan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak melalui ekonomi sempadan,” kata Ongkili.

Turut hadir pada sesi itu Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

Kadin adalah organisasi yang terdiri daripada dewan dan persatuan perniagaan Indonesia yang memberi tumpuan kepada semua perkara berkaitan perdagangan nasional dan antarabangsa, industri dan perkhidmatan.

Dengan 34 dewan serantau dan 524 cawangan, ia satu-satunya organisasi perniagaan di seluruh negara yang diberi mandat oleh pihak berkuasa Indonesia untuk bercakap bagi pihak perniagaan swasta, berhubung dengan pegawai kerajaan dan meliputi semua sektor berkaitan.

Ongkili, yang mengetuai delegasi Malaysia untuk lawatan rasmi selama seminggu ke Indonesia, menekankan Kadin sedang mengusahakan beberapa perkara dengan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan hubungan dua hala dan ekonomi.

Katanya, terdapat keperluan untuk membangunkan infrastruktur dan mewujudkan kawalan keselamatan yang lebih baik seperti menubuhkan kompleks kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan di semua pintu masuk di sepanjang sempadan Kalimantan - Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak perlu mengambil peluang yang boleh didapati berdasarkan kedudukan kedua-dua negeri itu yang berdekatan dengan Nusantara, ibu negara Indonesia yang baharu.

“Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia sudah lama wujud, tetapi masih ada ruang untuk ditambah baik,” katanya.

Ongkili dan delegasinya dijadual bertemu dengan pegawai tertinggi di Indonesia untuk membincangkan pelbagai perkara, terutama berkaitan dengan hubungan dua hala, ekonomi dan isu antarabangsa.

Pasukan delegasi itu termasuklah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Awang Tengah Ali Hasan.

Menyifatkan lawatan selama seminggu itu sebagai ‘tepat pada masanya dan strategik’, Ongkili berkata, pasukan itu berhasrat untuk mendapatkan maklumat langsung mengenai lokasi ibu negara baharu Indonesia dan jangkaan impaknya kepada ekonomi sempadan antara Kalimantan serta Sabah dan Sarawak.

“Kami turut berharap lawatan itu akan meningkatkan hubungan sedia ada antara kedua-dua negara, supaya kami dapat bekerjasama rapat dari segi ekonomi, sosial dan politik pada masa depan,” katanya. – Bernama, 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen