Wakil kerajaan, pembangkang akan halusi klausa dalam RUU antilompat parti, kata Saifuddin


Mohd Farhan Darwis

Penggubalan RUU anti lompat parti adalah antara komitmen dalam MoU yang dimeterai September lalu antara pembangkang dan kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2022.

KABINET sudah bersetuju secara prinsip berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, namun penelitian rapi diperlukan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat, kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PKR itu berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dalam pertemuan bersama wakil pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

“Perdana menteri minta pandangan kami, jadi kami kata aktifkan semula Jawatankuasa Pemandu dan sudah dipersetujui dan akan adakan mesyuarat pada 31 Mac,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Saifuddin berkata, dalam pertemuan itu nanti, lima wakil masing-masing dari pihak kerajaan dan PH akan memperhalusi klausa tertentu yang terkandung dalam RUU tersebut.

RUU yang sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat berakhir Khamis lalu bagaimanapun ditangguhkan.

“Sumbangan kedua-dua pihak besar dalam perkara ini, kami dapat respons langsung daripada perdana menteri bagaimana tahap sokongan isu ini daripada parti dalam kerajaan.

“Bagi PH, kami tunggu masa dan hari, kita akui ada beberapa perkara yang perdana menteri perlu uruskan dan komitmen adakan sidang khas dipersetujui,” kata Saifuddin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Khamis memberi jaminan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan RUU antilompat parti akan dibuat pada sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April ini.

Penggubalan RUU antilompat parti adalah antara komitmen dalam perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu antara pembangkang dan kerajaan.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU itu ditandatangani pada 13 September lalu dan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen. Turut dipersetujui adalah Parlimen tidak boleh dibubar sebelum 13 Julai ini.

Saifuddin berkata, setakat ini antara baki kandungan MoU yang belum dilaksanakan adalah tempoh perkhidmatan perdana menteri selama dua penggal, penubuhan suruhanjaya perkhidmatan Parlimen dan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat. – 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen