BEKAS aktivis pelajar Fahmi Zainol akan merebut jawatan tertinggi sayap pemuda PKR dalam pemilihan parti itu pada Mei.
Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang berusia 31 tahun itu memilih Adun Rawang Chua Wi Keat sebagai gandingannya dengan merebut jawatan timbalan ketua.
Ketua semasa dan Ahli Parlimen Johor Bharu Akmal Nasrullah Mohd Nasir tidak mempertahankan jawatannya.
Bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) itu turut mengumumkan senarai penuh pasukannya.
“Pemilihan kali ini adalah pemilihan yang berasaskan penyatuan, gerakan dan ketumbukan anak muda dalam PKR bagi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kami yakin dan sentiasa berusaha merangkul kesemua anggota Pemuda setiap cabang di seluruh Malaysia untuk bersama-sama Fahmi Zainol dan rakan-rakan,” katanya.
Antara calon terkenal lain dalam senarai Fahmi ialah Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran yang bertanding untuk kerusi exco.
Fahmi menyertai PKR pada 2015 dan dijangka berdepan seorang lagi aktivis pelajar Adam Adli yang menyertai parti itu tahun lepas.
Adam Adli bagaimanapun masih belum mengesahkan sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya dan sebelum ini berkata beliau akan mengumumkan keputusannya menjelang pemilihan parti.
“Kami pernah bersama-sama dengan memperjuangkan banyak isu berkaitan mahasiswa sebelum ini.
“Jadi, sekiranya dia bertanding, ini lebih kepada pertandingan abang-adik,” katanya. – 27 Mac, 2022.
Komen