ORANG ramai yang masih belum mengambil vaksin Covid-19 dinasihatkan agar tidak memperjudikan nyawa mereka, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dalam satu kenyataan berkata, kemudahan penjagaan kesihatan negara melaporkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19 setiap hari.
Kok berkata walaupun simptom varian Covi-19 Omicron ringan, ia bukannya berlaku kepada semua individu.
“Jika sistem imun semulajadi seseorang lemah, masih ada kemungkinan simptom yang teruk apabila dijangkiti virus itu, walaupun sudah divaksin, apatah lagi mereka yang belum menerima suntikan utama.
“Mesej MMA kepada orang ramai ialah ‘jangan perjudikan nyawa anda. Dapatkan perlindungan maksimum yang tersedia melalui vaksinasi dan suntikan penggalak’,” kata Koh.
Kenyataannya dibuat ketika negara bersiap sedia untuk beralih ke tahap endemik pada 1 April.
Beliau menggesa warga emas yang mempunyai komorbiditi untuk mendapatkan suntikan penggalak mereka.
“Varian Omicron sangat mudah ditularkan, dan ini menjadikan kemungkinan semua orang dijangkiti Covid-19, pada satu ketika adalah tinggi.
“Jadi, adalah lebih baik dapatkan perlindungan tambahan suntikan penggalak. Jika anda masih tidak pasti, dapatkan nasihat doktor keluarga anda,” katanya.
Beliau berkata banyak yang dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu suntikan penggalak dan tiada apa yang boleh dilakukan jika ada pihak tidak mahu mendapatkannya.
Malaysia mencatatkan penurunan kes jangkitan Covid-19 kepada 20,923, berbanding 21,839 pada sehari sebelumnya, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Laman web CovidNow menunjukkan jumlah kumulatif kes Covid-19 kini berjumlah 4.1 juta.
Semalam, KKM melaporkan 979 kemasukan ke hospital Covid-19.
Daripada jumlah itu, 569 kes adalah dalam kategori ringan 1 dan 2, manakala 410 kes dalam kategori 3, 4 dan 5.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit kategori 1 dan 2 akan dimasukkan ke hospital jika mereka dianggap berisiko tinggi dan memerlukan pemerhatian.
Kategori 1 dan 2 kes menyumbang kepada 58.2% daripada jumlah kemasukan ke hospital semalam.
Pesakit dalam kategori 1 adalah tanpa gejala, 2 mempunyai simptom ringan, 3 mempunyai simptom seperti radang paru-paru, 4 mempunyai simptom serius yang memerlukan sokongan pernafasan, dan 5 mempunyai simptom teruk yang memerlukan rawatan rapi.
Selangor mencatatkan jumlah kemasukan ke hospital pesakit baharu Covid-19 semalam dengan 208, diikuti Perak (103).
Selebihnya negeri dan wilayah masing-masing melaporkan kurang daripada 100 kemasukan. – 27 Mac, 2022.
Komen