Ayuh Malaysia sasar tarik minat pengundi kembali mengundi


Mohd Farhan Darwis

Rafizi Ramli berkata kempen Ayuh Malaysia dilancarkan bagi menarik kembali minat kumpulan pengundi atas pagar keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Mac, 2022.

KEMPEN Ayuh Malaysia yang dilancarkan Rafizi Ramli malam tadi mahu menarik kembali minat kumpulan pengundi atas pagar keluar mengundi selepas mereka dilihat “lesu politik” seperti ditunjukkan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

Berbanding menggunakan serangan politik, Rafizi, yang juga bekas ahli Parlimen Pandan mahu menggunakan isu realiti kehidupan dalam usaha menarik minat kelompok terbabit, seperti yang pernah dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang membolehkan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

“Kalau tak berjaya ubah pandangan ahli parti lain tak apa, matlamat kita tingkatkan kadar keluar mengundi supaya lebih 70%, kalau boleh buat itu saya tak rasa Barisan Nasional (BN) boleh menang besar atau tak menang langsung.

“Besar kemungkinan yang tak nak keluar mengundi ini yang sokong kita lah… kita kena ketuk hati dan yakinkan hati, kita perlukan pertolongan mereka.

“Ini bukan soal pimpinan politik berebut jawatan ini untuk rakyat, maksudnya kita pernah buat semua ini, kalau kita konsisten rakyat akan sambut, dua, tiga bulan akan datang kita dapat rasa,” kata Rafizi, ketika melancarkan kempen Ayuh Malaysia di ibu negara, malam tadi.

Majlis malam tadi adalah pentas politik pertama Rafizi dalam masa empat tahun selepas “cuti politik”. Beliau mengumumkan kembali aktif dalam politik pada 15 Mac lepas dan akan bertanding pemilihan PKR tidak lama lagi.

Dua PRN sebelum ini menunjukkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah sekaligus membolehkan BN menang dua pertiga majoriti kerusi di DUN Melaka dan Johor.

Pada PRN Melaka peratusan keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah 65.85% manakala di Johor pula merekodkan 54.92%.

Bekas naib presiden PKR itu berkata, rakyat muak melihat sikap pimpinan politik yang bertelagah antara satu sama lain sedangkan tiada pembelaan yang diberikan yang menyebabkan minat mereka terhadap politik menurun.

Rafizi Ramli mengumumkan kembali aktif dalam politik pada 15 Mac lepas dan akan bertanding pemilihan PKR tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Mac, 2022.

Disebabkan itu kempen Ayuh Malaysia yang dianjurkannya bersama pimpinan muda PKR itu akan lebih menyentuh isu-isu yang dekat dengan rakyat, terutamanya kelompok pengundi muda dan atas pagar. 

“Kerana keputusan PRN setakat ini beri bayangan sebahagian besar rakyat tak peduli. 

“Pakatan Harapan (PH), PKR kena ambil tanggungjawab yang kita perlu perbaiki cara kita. Bila sampai keadaan pengundi rasa buang masa, keadaan mereka tetap sama, memang pengundi kecewa dan ahli politik pun kecewa,” kata Rafizi.

Katanya, melalui platform Ayuh Malaysia, strategi yang digunakan adalah untuk rakyat menekan pimpinan politik mendengar suara mereka.

“Kita kena tekan sendiri, kita tumpu lima perkara ini sahaja, orang tua tak nak dengar ikut suka dia. 

“Orang muda kena dengar, ini sebab kamu. Kalau tak ia tak jadi tekanan negara sebab kalau tak ditekan kerajaan tak ambil kisah.

“Selagi tak ulang berkali-kali, ini perkara saya harap kita bercakap berulang-kali biar tekanan datang daripada rakyat di bawah, paksa menteri, ini kenapa tak buat, kenapa tak buat begini, bila mana berulang ia akan jadi agenda nasional,” kata Rafizi.

Kempen Ayuh Malaysia fokus kepada lima agenda utama iaitu jaminan keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, TVET, rumah mampu milik, dan demokrasi pendidikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Mac, 2022.

Melalui kempen itu, Rafizi yang kembali semula ke arena politik selepas berehat akan berusaha mengembalikan gelombang rakyat yang pernah bersama mereka sebelum ini.

“Kita tak nak tumpu soal serang menyerang politik kita nak penyelesaian, kita akan cuba tiupkan balik dan semangat keinginan rakyat pertahankan perubahan dapat dicapai, yang patah hati kita pujuk balik. 

“Kita menang Pilihan Raya Umum pada 2018 kerana gelombang rakyat…boleh nampak, melalui platform Ayuh Malaysia kita nak cakap kepada semua rakyat Malaysia biasa, bukan soal parti, kamu sokong siapa.

“Kita kena cakap balik perkara yang betul yang ada kesan kepada rakyat, kita nak ajak semua rakyat Malaysia kita berbeza pandangan sokong parti lain-lain tetapi masalah kita sama. 

“Masalah yang kita warisi dan akan melumpuhkan kita adalah sama,” tambahnya.

Kempen Ayuh Malaysia tersebut fokus kepada lima agenda utama iaitu jaminan keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), rumah mampu milik, dan demokrasi pendidikan.

Majlis malam tadi turut dihadiri Ketua Angkatan Muda PKR Akmal Nasir, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh dan beberapa lagi pimpinan dan anggota PKR. – 27 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen