PELAKSANAAN gaji minimum baharu tidak memberi kesan kepada majikan dan pekerja di kawasan bandar, kata pengendali perniagaan.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kebanyakan pekerja yang bekerja di perusahaan bersaiz kecil dan sederhana serta industri makanan dan minuman sudah mendapat gaji minimum melebihi RM1,500 yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei.
Bagaimanapun yang lain berkata bagi kumpulan B40 berpendapatan rendah, gaji minimum baharu hampir tidak mencukupi untuk mereka bertahan dengan mengambil kira kadar inflasi semasa.
Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro Jeremy Lim berkata kebanyakan ahlinya membayar gaji melebihi gaji minimum baharu.
“Sebilangan besar ahli kami berada di pusat bandar. Restoran, bistro dan kelab, sebelum adanya gaji minimum RM1,500 kami sudah melepasi kadar itu.
“Di kawasan bandar sukar untuk bertahan dengan gaji kurang RM1,500,” katanya.
Lim berkata seorang barista di kafe biasanya memperoleh kira-kira RM1,600.
“Jika mereka mempunyai pengalaman dan mampu membuat seni kopi, tangga gaji mereka akan naik secara drastik.
“Bagi pelayan mereka dibayar gaji permulaan sekurang-kurangnya RM1,500 hingga RM1,600 tidak termasuk tip. Selepas pengesahan dan dengan tip mereka akan memperoleh lebih RM2,000,” katanya.
Perniagaan di kawasan luar bandar bagaimanapun mungkin berdepan kenaikan 25% dalam gaji minimum, kata Lim.
“Ini akan meningkatkan kos menjalankan perniagaan terutama bagi mereka yang berada di luar bandar dan pinggir bandar. Mereka mungkin tidak dapat menyokong perbelanjaan operasi yang tinggi dan pulangan yang rendah,” katanya.
Lim berkata ini boleh menyebabkan perniagaan menaikkan harga barang yang dijual.
“RM1,500 di KL berbanding beberapa kampung di Kedah atau Terengganu juga berbeza. Kesan kepada asas kos individu dan perniagaan juga akan berbeza.
“Kerajaan memberi lebih banyak wang kepada B40 tetapi harga barangan meningkat, mereka yang berpendapatan sederhana akan jatuh dalam kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.
Kerajaan sepatutnya melakukan lebih banyak persediaan asas sebelum mengumumkan kadar baharu itu, katanya.
“Saya masih percaya kerajaan sepatutnya mengkajinya dengan lebih teliti sebelum membuat pengumuman mengejut itu.
“Kita perlu melakukan apa yang perlu kita lakukan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi kajian yang tidak cekap perlu diselesaikan sebelum kita membuat perubahan dasar,” katanya.
Pada Isnin Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500
Beliau berkata perniagaan kecil dan mikro dibenarkan untuk menangguhkan pelaksanaan kerana mereka mungkin tidak berkemampuan untuk membayarnya.
Gaji minimum semasa RM1,200 dilaksanakan pada 1 Februari 2020.
Naib Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Chin Chee Seong juga bersetuju dengan Lee bahawa gaji minimum baharu akan memberi impak yang minimum.
“Bagi sektor runcit dan F&B di bandar utama ramai pekerja dibayar lebih RM2,000.
“Kafe dan restoran juga membayar pekerja mereka dengan gaji minimum RM2,500,” kata Chin.
Chin berkata PKS juga tidak akan terjejas teruk oleh gaji minimum baharu.
“Pelaksanannya sudah dijangka. Terdapat beberapa majikan yang akan terjejas dengan kos menjalankan perniagaan tetapi jumlah ini tidak menjejaskan ramai majikan kerana kerajaan hanya melaksanakannya untuk PKS yang mempunyai lebih daripada lima pekerja.
“Untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang RM2025 ini adalah sebahagian daripada rancangan dan keperluan untuk maju ke depan,” katanya.
Hampir tidak cukup untuk bertahan
Pegawai penyelidik di Persatuan Pengguna Pulau Pinang S Ganesan berkata bagi kumpulan B40 gaji minimum baharu masih tidak mencukupi.
“Kami mengalu-alukannya tetapi ia hanya gaji kelangsungan hidup. Pendapatannya kira-kira RM8 atau RM8.50 sejam.
“Malah pekerja asing pun mereka tidak pernah bekerja kurang daripada RM70 atau RM80 sehari. Berbanding dengan pekerja kilang kita, RM1.500 hanyalah gaji survival,” katanya.
Memandangkan harga barangan secara keseluruhan meningkat disebabkan oleh wabak, isu bekalan global dan perang di Ukraine, kumpulan berpendapatan rendah hampir tidak mempunyai gaji mencukupi untuk membeli makanan atau membayar untuk pendidikan.
“Dengan kenaikan harga baharu yang drastik malah nasi campur di mana anda memesan ayam, nasi dan sayur-sayuran berharga lebih RM10.
“Pendidikan, makanan, pengangkutan semuanya naik. Sekurang-kurangnya mereka mendapat lebih sedikit daripada apa yang mereka peroleh dahulu,” katanya.
Apabila ditanya sama ada gaji minimum baharu akan menggalakkan mereka dalam ekonomi gig untuk menyertai tenaga kerja, Ganesan berkata ia tidak akan berlaku.
“Pekerja ekonomi gig memperoleh pendapatan lebih daripada ini, mereka boleh memperoleh lebih banyak jika mereka bekerja keras. Mereka lebih suka melakukan kerja ini daripada bekerja di kilang,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengumumkan Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat 2.2% kepada 125.2 pada Februari 2022 berbanding 122.5 bagi tempoh sama tahun lalu.
Inflasi didorong oleh kenaikan kos makanan. – 28 Mac, 2022.
Komen