KERAJAAN akan melanjutkan program jualan Keluarga Malaysia sepanjang Ramadan ini untuk memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barang keperluan harian pada harga lebih rendah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi kebenaran kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya meneruskan program itu bagi membantu rakyat membeli bekalan keperluan.
“Program ini sepatutnya tamat hujung bulan ini tetapi KPDNHEP menghantar surat kepada Perdana Menteri baru-baru ini.
“Jadi, saya boleh katakan KPDNHEP dibenar melanjutkan program ini (sampai akhir Ramadan). Kita perlu memperhalusi (beberapa perkara) supaya ia lebih menyeluruh dan mudah dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri menyempurnakan majlis perasmian sambutan itu. Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNHEP Hasnol Zam Zam Ahmad.
Nanta turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pelbagai pihak yang secara sukarela membantu KPDNHEP melaksanakan program jualan Keluarga Malaysia.
“Ramai wakil rakyat, pemain industri, pasar raya besar dan pelbagai pihak memang suka datang bersama untuk (turut serta) dalam program ini yang dapat membantu mengurangkan bebanan kos (hidup) rakyat. Saya amat menghargai mereka yang sukarela membantu kita,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sejumlah 3,347 peniaga mengadaptasi program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) setakat 15 Mac lalu dan menjangkakan 15,000 peniaga di seluruh negara akan beralih kepada ReDI menjelang akhir 2025.
“Penggunaan e-dompet di Malaysia juga meningkat 131%, melebihi 600 juta transaksi pada 2020,” katanya.
Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak antara 30% dan 50%, bersamaan RM254.6 bilion pada suku pertama tahun lalu. – Bernama, 26 Mac, 2022.
Komen