KERAJAAN negeri Pulau Pinang sekali lagi menyatakan kebimbangan berhubung projek terowong dasar laut dan projek lebuh raya akan disabotaj oleh seteru politiknya.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini bahawa projek pembinaan terowong yang menghubungkan Persiaran Gurney dan Butterworth hanya membazirkan wang rakyat dan tidak perlu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion itu hanya dijadikan kontroversi menjelang Pilihan Raya Umum ke 14, terutamanya oleh parti komponen Cina Barisan Nasional, MCA dan Gerakan.
“Kami bimbang dengan campur tangan perdana menteri dalam projek, yang kini menjadi kontroversi yang dimainkan oleh MCA dan Gerakan menjelang pilihan raya.
“Katanya projek ini adalah “skandal gergasi”, tidak perlu dan satu pembaziran. Beliau lupa ketika kerajaan negeri menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat China,” katanya.
“Beliau tidak katakan ia “skandal gergasi” waktu itu. Ini berlaku selepas MCA dan Gerakan cuba mensabotaj projek ini, membuat isu palsu, fitnah dan pembohongan.
“Apabila saya dedahkan penipuan itu mereka tidak memberi penjelasan. Mereka terus dengan pembohongan lain.”
Lim mendakwa MCA dan Gerakan gagal dalam usaha untuk cuba mencemarkan reputasinya dan Pakatan Harapan yang menerajui kerajaan Pulau Pinang, jadi mereka ada ketua BN Najib untuk sertai mereka.
Semalam, Lim mengingatkan Najib bahawa beliau sendiri yang menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan Pulau Pinang dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) untuk projek terowong itu di Putrajaya pada 28 April, 2011.
Perdana Menteri China ketika itu Wen Jiabao turut hadir pada upacara berkenaan. Lim memiliki gambar kesemua mereka termasuk pengerusi BUCG Liu Longhua pada majlis itu. – 11 Februari, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan